in ,

Apple Optimis Sambutan Positif Bagi iPhone Ultra

Apple dilaporkan semakin yakin dengan potensi telefon pintar boleh lipat pertamanya apabila media Korea Selatan, The Bell, mendakwa syarikat itu telah meningkatkan tempahan pengeluaran iPhone Lipat (iPhone Ultra) kepada sekitar 10 juta unit.

Angka itu meningkat daripada sasaran awal sekitar 7 hingga 8 juta unit, sekali gus memberi gambaran bahawa Apple menjangkakan permintaan yang kukuh apabila peranti itu dilancarkan.

Menurut laporan tersebut, Apple turut menempah sekitar 70 juta unit bagi iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max, menjadikan keseluruhan tempahan model premium syarikat itu mencecah kira-kira 80 juta unit untuk kitaran pengeluaran akan datang.

Walaupun jumlah tempahan iPhone Ultra jauh lebih rendah berbanding siri iPhone 18 Pro, angka 10 juta unit masih dianggap besar bagi sebuah produk generasi pertama. Ini menunjukkan Apple mempunyai keyakinan tinggi bahawa telefon pintar boleh lipatnya mampu menarik minat pengguna, khususnya dalam segmen premium.

Lagi artikel di ifon.my  iPhone 18 Pro Menggunakan Teknologi Face ID Di Bawah Skrin

Dari segi harga pula, firma penyelidikan IDC menganggarkan iPhone Ultra akan dijual pada harga purata sekitar AS$2,500 (sekitar RM12,499). Bagi model dengan kapasiti storan yang lebih tinggi, harganya dijangka boleh mencecah AS$3,000 (sekitar RM12,600), sekali gus menjadikannya iPhone paling mahal pernah diperkenalkan oleh Apple.

Pada pandangan saya, langkah ini membuktikan Apple tidak mahu sekadar menyertai pasaran telefon pintar boleh lipat, sebaliknya mahu meletakkan iPhone Ultra sebagai peranti ultra premium yang menawarkan pengalaman penggunaan terbaik.

Berbeza dengan kebanyakan pengeluar Android yang bersaing dari segi jumlah jualan, Apple dilihat lebih menumpukan kepada nilai produk, keuntungan dan pengalaman pengguna.

Sekiranya Apple berjaya menghasilkan skrin dengan kesan lipatan yang hampir tidak kelihatan, ketahanan engsel yang lebih baik serta pengoptimuman iOS yang menyeluruh untuk skrin boleh lipat, iPhone Ultra berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam industri telefon pintar boleh lipat.

Lagi artikel di ifon.my  iPhone 18 Pro Dijangka Hadir Dengan Bateri Lebih Besar, Tetapi Peningkatannya Tidak Begitu Ketara

Buat masa ini, Apple masih belum mengesahkan sebarang maklumat mengenai peranti tersebut. Namun, berdasarkan pelbagai laporan industri, iPhone Ultra dijangka diperkenalkan sekitar September 2026 bersama siri iPhone 18.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Counterpoint: iPhone Lipat (iPhone Ultra) Dijangka Ubah Landskap Telefon Pintar Boleh Lipat

Antennagate: Di Sebalik Kontroversi Yang Membentuk Apple Hari Ini