KUALA LUMPUR – Sebermula daripada rutin menonton siaran berita bersama keluarga setiap malam, seorang pelajar, Norizati Khairuddin, 21, kini memasang tekad untuk merealisasikan impiannya sebagai penyampai berita profesional. Minat yang disemai sejak usia remaja itu terus berkembang sehingga mendorongnya memilih bidang komunikasi sebagai laluan membina kerjaya dalam industri penyiaran.
Menurut Izati, profesion penyampai berita sentiasa menarik perhatiannya kerana memerlukan keyakinan tinggi, penyampaian yang tersusun serta kredibiliti dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Baginya, aspek profesionalisme itulah yang menjadi inspirasi untuk terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa.

Bagi merealisasikan impian tersebut, Izati kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) di sebuah universiti tempatan. Katanya, pendidikan formal bukan sekadar melengkapkan pengetahuan teori, malah menjadi platform terbaik untuk menguasai kemahiran kewartawanan, penyampaian berita secara beretika serta komunikasi yang berkesan.
Kendatipun begitu, Izati percaya kejayaan dalam dunia penyiaran tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata. Justeru, beliau turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran praktikal seperti pengucapan awam, penulisan berita dan pengendalian kamera sebagai persediaan menghadapi cabaran sebenar industri media.
Di luar dunia kewartawanan, Izati juga aktif dalam bidang peragaan secara sambilan bersama beberapa butik tempatan. Malah, beliau pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan Sobella Makeup Battle 2024, sekali gus membuktikan kebolehannya menyerlah dalam pelbagai bidang.
Walakin begitu, Izati menegaskan bahawa kecantikan semata-mata bukanlah tiket untuk berjaya sebagai penyampai berita. Sebaliknya, keyakinan diri, disiplin serta tahap profesionalisme yang tinggi merupakan elemen paling penting bagi mereka yang ingin membina nama dalam industri penyiaran.
Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Izati optimis impiannya untuk bergelar penyampai berita suatu hari nanti mampu direalisasikan. Kisah beliau membuktikan bahawa cita-cita yang dipupuk sejak kecil, apabila disertai usaha dan kesungguhan, mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan pada masa hadapan.

