Operasi Pesta Copet mengisahkan sekumpulan individu daripada golongan bawahan yang berdepan kehidupan serba kekurangan dan terpaksa mencari pelbagai cara untuk meneruskan kehidupan.

Dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit, mereka akhirnya terjebak dalam kegiatan sebagai penyeluk saku untuk mendapatkan wang.
Namun, keadaan menjadi semakin rumit apabila kehidupan mereka mula bersilang dengan pelbagai kejadian yang berlaku sepanjang Pesta Pora. Di sebalik segala kekalutan tersebut, filem ini menyelitkan kisah persahabatan, kasih sayang dan perjuangan golongan yang hidup dalam keadaan daif.

Bagi saya, kekuatan utama Operasi Pesta Copet terletak pada barisan pelakonnya. Setiap karektor dilakukan dengan sangat berkualiti dan mempunyai identiti tersendiri.
Iqbaal Dhiafakhri Ramadhan sebagai Ijal misalnya, berjaya membawa karektor seorang lelaki yang tidak terurus dan hidup dalam keadaan daif dengan begitu meyakinkan. Penampilannya membuatkan saya mudah percaya bahawa Ijal benar-benar datang daripada kehidupan yang serba kekurangan.

Walaupun watak Ijal begitu menyerlah, saya turut mahu memberikan pujian kepada Kawai Labiba yang membawa watak Melodi. Saya langsung tidak melihat dia seperti sedang berlakon. Gerak tubuh, reaksi dan cara penyampaiannya terasa begitu semula jadi. Ditambah dengan komedi yang dibawakan, watak Melodi menjadi antara karektor yang membuatkan saya benar-benar terhibur.

Filem ini juga menarik kerana tidak sekadar menggunakan komedi sebagai hiburan. Di sebalik jenaka dan kekecohan yang berlaku, Operasi Pesta Copet menyentuh kehidupan golongan yang sangat daif sehingga terpaksa mencari pekerjaan haram akibat sistem ekonomi yang dibentuk oleh sang penguasa. Isu tersebut menjadikan filem ini mempunyai lapisan yang lebih daripada sekadar kisah penyeluk saku dan komedi.
Sepanjang penceritaan, kita akan diselitkan dengan unsur komedi serta kasih sayang dalam persahabatan. Pada masa yang sama, filem ini turut mengingatkan penonton supaya lebih berhati-hati dengan golongan penyeluk saku. Mesej tersebut disampaikan dengan cara yang ringan tanpa terlalu mengganggu sifat hiburan filem ini.

Dari segi nilai produksi pula, saya berpuas hati dengan apa yang dipersembahkan. Babak di Konsert Pesta Pora khususnya kelihatan begitu gah dan memberikan skala yang lebih besar kepada filem ini. Ia menunjukkan bahawa Operasi Pesta Copet tidak bergantung sepenuhnya kepada kekuatan pelakon dan komedi, tetapi turut mempunyai nilai produksi yang baik.
Namun, satu kelemahan yang saya lihat ialah jalan ceritanya terasa agak panjang. Pada pandangan saya, filem ini sudah memadai jika dipendekkan kepada sekitar 1 jam 45 minit.
Walaupun begitu, saya sedar ramai penonton merasakan durasi 1 jam 53 minit yang dipersembahkan sekarang sudah memadai dan tidak menjadi masalah besar. Bagi saya, sedikit pemadatan masih boleh membantu menjadikan rentak penceritaan lebih kemas tanpa menjejaskan keseluruhan cerita.

Secara keseluruhannya, saya menikmati Operasi Pesta Copet. Filem ini berjaya menggabungkan komedi, persahabatan, kasih sayang dan kritikan terhadap realiti kehidupan golongan yang terpinggir dalam sebuah cerita yang menghiburkan. Bagi saya, Operasi Pesta Copet merupakan salah satu filem dari Indonesia yang akan saya letakkan sebagai calon filem terbaik tahun ini.
Skor 8/10

