Selepas mencuri perhatian di pentas antarabangsa, filem Indonesia PARA PERASUK kini bersedia menemui penonton Malaysia. Lebih istimewa, pelakon Bryan Domani dan pengarah terkenal Wregas Bhanuteja akan hadir ke Kuala Lumpur sempena tayangan gala filem tersebut yang dijadual berlangsung pada 24 Jun 2026.

Diedarkan oleh Antenna Entertainments, PARA PERASUK hadir dengan sebuah kisah yang menggabungkan unsur supernatural, budaya tradisional dan pencarian jati diri dalam satu penceritaan yang cukup memikat.
Filem ini mengisahkan Bayu, seorang pemuda yang memiliki kebolehan unik sebagai perantara roh. Dengan impian untuk mengendalikan persembahan trance miliknya sendiri, Bayu berusaha menggunakan bakat tersebut bagi membantu keluarganya yang berdepan risiko kehilangan tempat tinggal.

Namun, dalam perjalanan itu, dia terpaksa mengimbangi antara tradisi, kepercayaan dan cabaran dunia moden yang semakin berubah.
Apa yang menjadikan PARA PERASUK lebih menarik adalah pengiktirafannya di peringkat global. Filem ini membuat tayangan perdana dunia di Festival Filem Sundance 2026 dan dipilih untuk bertanding dalam kategori berprestij World Cinema Dramatic Competition, sekali gus mengangkat lagi nama sinema Indonesia di mata dunia.

Kehadiran Bryan Domani dan Wregas Bhanuteja ke Malaysia bukan sahaja memberi peluang kepada peminat untuk bertemu mereka secara lebih dekat, malah menjadi bukti bahawa PARA PERASUK merupakan antara karya Indonesia yang paling dinantikan tahun ini.

Bagi pencinta filem yang menghargai penceritaan berteraskan budaya dengan sentuhan sinematik yang segar, judul ini sememangnya wajar berada dalam senarai tontonan anda.
