Ada filem yang wujud untuk ditafsir semula. Ada juga filem yang terlalu kukuh sehingga setiap usaha mengulanginya akan sentiasa dibandingkan dengan bayang-bayang karya asal. The Intern (2026) dari Korea Selatan berada tepat di persimpangan itu.

Diangkat daripada filem The Intern (2015) arahan Nancy Meyers yang dibintangi Robert De Niro dan Anne Hathaway, versi Korea ini mengekalkan roh asalnya sambil menyelitkan sedikit nafas tempatan melalui budaya kerja moden Korea, jurang generasi dan dunia startup fesyen.
Kim Ki-ho (Choi Min-sik) merupakan seorang veteran dunia pekerjaan dengan pengalaman selama 37 tahun yang menyertai syarikat fesyen Woo22 sebagai pelatih senior.
Di situ, beliau berada di bawah pimpinan Lee Seon-woo (Han So-hee), seorang CEO muda yang berjaya membina empayar syarikatnya dalam tempoh tiga tahun, namun bergelut mengimbangi tekanan kerjaya dan kehidupan peribadi. Pertemuan dua generasi ini akhirnya membentuk hubungan yang saling melengkapi apabila pengalaman bertemu dengan cita-cita.

Sejujurnya, sebaik sahaja filem ini bermula, perasaan déjà vu terus menyapa. Konflik, perjalanan emosi, malah sebahagian besar babak ikonik daripada versi 2015 hadir hampir dalam susunan yang sama. Tidak keterlaluan jika saya katakan keseluruhan penceritaannya terasa seperti salin dan tampal, cuma dibalut dengan identiti Korea yang lebih kontemporari.
Kendatipun begitu, bukan bermakna filem ini hadir tanpa usaha. Beberapa babak diolah sedikit berbeza, termasuk elemen budaya kerja Korea, penggunaan AI, bahasa generasi muda serta dinamika organisasi yang terasa lebih dekat dengan realiti masa kini.
Perubahan-perubahan kecil inilah yang memberi sedikit ruang kepada versi ini untuk berdiri atas kaki sendiri, walaupun tidak cukup besar untuk memisahkannya daripada bayang karya asal.

Andai ada satu aspek yang benar-benar mengangkat filem ini, jawapannya ialah lakonan. Choi Min-sik membuktikan mengapa beliau kekal sebagai antara pelakon terbaik Korea. Kim Ki-ho bukan sekadar lelaki tua yang kembali bekerja, tetapi seorang insan yang membawa ketenangan, kebijaksanaan dan kemanusiaan ke dalam setiap babak.
Ada kelembutan yang sukar diterangkan setiap kali beliau berbicara, seolah-olah pengalaman hidupnya mengalir bersama setiap dialog.

Han So-hee pula berjaya menghidupkan Lee Seon-woo sebagai seorang CEO yang tampak cekal di luar, namun rapuh di dalam. Tekanan memimpin syarikat, tuntutan pelabur dan konflik kehidupan peribadi diterjemahkan dengan cukup meyakinkan, menjadikan chemistry antara kedua-dua watak ini sebagai nadi sebenar filem.
Walakin begitu, di situlah juga kelemahan terbesar The Intern (2026). Lakonannya cukup kuat, tetapi naratifnya terlalu berhati-hati untuk keluar daripada acuan asal. Filem ini seperti takut mengambil risiko bagi mencipta identitinya sendiri.

Jika anda belum pernah menonton The Intern (2015), saya percaya versi Korea ini mampu memberikan pengalaman yang cukup menghiburkan, menyentuh hati dan meninggalkan senyuman sewaktu kredit penutup mula bergulir.
Namun, jika anda membesar bersama kehangatan Robert De Niro dan Anne Hathaway, sukar untuk tidak membandingkannya. Versi Korea berjaya mengekalkan rasa, tetapi gagal menghasilkan magis yang benar-benar baharu.
Saya tetap menghormati keberanian pasukan produksi mengadaptasi sebuah karya yang begitu disayangi ramai. Cuma, ada filem yang bukan sekadar boleh diulang, kerana ia sudah terlalu sempurna dalam bentuk asalnya.
Skor: 7/10
