in

Indera : Naskhah Seram Penuh Misteri

Indera merupakan sebuah filem seram yang membawa penonton menyelami kisah misteri dan trauma silam yang dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Azira Syafinaz, Samara Kenzo, Ruminah Sidek dan Adlin Aman Ramlee.

Berlatarbelakangkan tahun 1985, filem ini mengisahkan Joe, seorang bapa tunggal yang bergelut membesarkan anak perempuannya, Sophia, selepas kematian isteri tercinta, Anisa.

Tragedi yang berlaku ketika Anisa melahirkan Sophia telah memberi kesan mendalam kepada Joe, sehingga dia hidup dalam kemurungan dan tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah dengan sepenuh hati.

Dibebani hutang dan dihalau dari rumah sewa, Joe akhirnya merantau ke sebuah kawasan terpencil dengan bantuan bekas tuan rumahnya.

Di situ, dia bertemu Aisha seorang nenek misteri yang tinggal di hujung kampung bersama tiga orang kanak-kanak. Meskipun terdapat desas-desus tidak baik mengenai Aisha, Joe tetap menerima pelawaan untuk tinggal dan bekerja di situ demi meneruskan hidup.

Lagi artikel di ifon.my  Martabat Misi Berdarah Komedi Spontan yang Menjadi

Namun, kehidupan mereka mula dihantui pelbagai kejadian aneh, suara misteri, bayangan menyeramkan, dan sebuah perigi yang menyimpan rahsia kelam.

Apakah sebenarnya yang tersembunyi di sebalik perigi itu? Dan apakah niat sebenar Aisha? Persoalan demi persoalan mula terungkai apabila kisah silam mula menghantui masa kini.

Dari segi penceritaan, Indera tampil dengan jalan cerita yang segar dan tidak klise. Lakonan Shaheizy Sam sebagai Joe sangat berkesan, emosi dan fizikalnya dibentuk dengan baik, bahkan penampilan terbarunya yang lebih gempal memberi sentuhan realistik pada watak.

Ruminah Sidek turut mencuri perhatian sebagai Aisha, dengan penghayatan watak yang penuh misteri dan dialog dalam bahasa Jawa yang menambahkan keaslian.Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan yang sedikit mengganggu.

Latar masa tahun 1985 tidak begitu menyerlah, dari segi set, kostum dan dialog, elemen zaman itu kurang ditonjolkan dan terasa sedikit moden. Beberapa babak juga dirasakan tidak memberi impak besar kepada jalan cerita dan boleh dipendekkan untuk aliran yang lebih kemas.

Lagi artikel di ifon.my  Dendam Malam Kelam : Misteri dan Memukau

Apa yang menjadikan Indera lebih bermakna ialah mesej yang dibawanya. Filem ini mengingatkan kita tentang bahaya membuat perjanjian atau menurut kata-kata jin. Walau sebesar mana pun hajat atau kesempitan hidup yang dialami, jangan sesekali mencari jalan pintas melalui makhluk halus.

Akhirnya, kita bukan sahaja terjerumus dalam dosa, malah boleh jatuh syirik kepada Sang Pencipta, satu dosa yang tidak terampun jika tidak bertaubat.

Secara keseluruhan, Indera ialah sebuah filem seram tempatan yang penuh pengajaran dan patut ditonton. Jangan lepaskan peluang untuk menontonnya di pawagam berhampiran anda.

Skor : 5.5/10 (55%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Sofia Iman dan Suria KLCC Meriahkan Pembukaan KL Fashion Week 2025 dengan Sentuhan Warisan Malaysia yang Mengagumkan

Weapons : Misteri Kehilangan Bermula Tepat Jam 2.17 Pagi