in ,

Tonton buka pintu kepada bakat baharu, hampir 300 hadir uji bakat pelakon

Tonton sekali lagi membuktikan komitmennya dalam mencari wajah baharu industri lakonan apabila sesi Uji Bakat Pencarian Pelakon Tonton Vertical menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan hampir 300 peserta.

Angka itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu, sekali gus mencerminkan minat yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk menceburi dunia lakonan.

Uji bakat ini bukan sahaja mencari pelakon utama, malah turut membuka peluang kepada pelakon watak sampingan bagi produksi Tonton Vertical dan drama TV3 akan datang.

Apa yang lebih menarik, peserta yang hadir bukan sekadar dari Lembah Klang, malah ada yang sanggup datang dari Johor dan Pulau Pinang.

Malah, penyertaan dua individu orang kurang upaya (OKU) turut menyerlahkan semangat bahawa dunia seni seharusnya memberi ruang kepada semua yang mempunyai bakat dan keazaman.

Proses pemilihan pula bukan sekadar melihat rupa atau populariti. Setiap peserta perlu menjalani ujian lakonan berpasangan menggunakan skrip yang disediakan sebelum dinilai oleh barisan penerbit dan pengarah berpengalaman.

Penilaian memberi fokus kepada versatiliti, kemampuan membawa watak serta personaliti peserta, dengan kira-kira 20 peratus daripada mereka berjaya disenarai pendek untuk ke peringkat seterusnya.

Melihat sambutan yang diterima, jelas inisiatif seperti ini masih relevan dalam melahirkan pelapis baharu industri hiburan tempatan.

Jika usaha ini diteruskan secara konsisten, Tonton bukan sahaja mampu menemukan bakat yang berpotensi menjadi bintang masa hadapan, malah membantu memperkukuh ekosistem industri kreatif Malaysia dengan wajah-wajah baharu yang berkualiti.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

OnePlus dilapor menutup operasi di Amerika Syarikat dan Eropah