Salah satu rungutan yang sering kedengaran setiap kali Apple memperkenalkan kemas kini iOS baharu ialah isu ketahanan bateri.
Ada pengguna yang mendakwa bateri menjadi lebih cepat susut, manakala ada juga yang merasakan prestasinya semakin baik selepas beberapa minggu penggunaan.
.jpg)
Menurut laporan yang dikongsikan oleh MacRumors, iOS 27 dijangka memberi tumpuan kepada pengoptimuman sistem yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan tenaga pada iPhone.
Laporan yang turut dipetik daripada wartawan Bloomberg, Mark Gurman, menyatakan Apple sedang melakukan kerja-kerja pembersihan kod lama, menulis semula beberapa komponen sistem serta memperkemas aplikasi terbina dalam bagi mengurangkan penggunaan sumber yang tidak diperlukan.
Sekiranya dakwaan ini benar, pengguna mungkin dapat menikmati hayat bateri yang lebih panjang tanpa memerlukan kapasiti bateri yang lebih besar.
Pendekatan ini bukan sesuatu yang baharu kerana Apple pernah melaksanakan strategi serupa melalui kemas kini yang memfokuskan kestabilan dan prestasi berbanding penambahan ciri baharu semata-mata.
Bagi saya, ini merupakan khabar yang lebih menarik berbanding penambahan animasi atau perubahan antaramuka.
Sebuah iPhone yang mampu bertahan lebih lama sepanjang hari memberi dampak yang jauh lebih besar kepada pengalaman penggunaan harian berbanding ciri yang hanya digunakan sekali-sekala.
Jika Apple benar-benar berjaya meningkatkan kecekapan tenaga menerusi iOS 27, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada model baharu, malah berpotensi memanjangkan usia peranti iPhone yang lebih lama.

