Bagaimana jika suatu hari nanti dunia mengetahui bahawa makhluk asing benar-benar wujud?
Itulah persoalan utama yang cuba dibawakan oleh Disclosure Day. Saya tidak boleh mendedahkan terlalu banyak mengenai plot penceritaan kerana terdapat beberapa elemen yang sengaja disembunyikan daripada treler rasmi. Namun, apa yang boleh saya katakan, filem ini mengangkat tema tentang kehadiran makhluk asing di Bumi dan bagaimana perkara tersebut memberi kesan kepada manusia serta dunia secara keseluruhannya.

Sebagai sebuah naskhah arahan Steven Spielberg, Disclosure Day menawarkan pengalaman tontonan yang unik dan berbeza berbanding kebanyakan filem sains fiksyen di pasaran ketika ini. Dari sudut teknikal, saya tidak menafikan kualiti CGI yang dipersembahkan sangat mengagumkan, manakala lakonan Emily Blunt sebagai Margaret Fairchild berjaya memberikan impak yang kuat kepada keseluruhan penceritaan.

Cuba bayangkan, jika maklumat rahsia mengenai kewujudan makhluk asing tiba-tiba terbongkar kepada umum, apakah yang akan berlaku kepada dunia? Bagaimana kerajaan, masyarakat dan manusia secara keseluruhannya akan bertindak balas? Itu sahaja klu yang boleh saya berikan mengenai jalan ceritanya.
Sejujurnya, saya boleh katakan Disclosure Day mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Jika anda merupakan peminat UFO, makhluk asing atau gemar menonton dokumentari berkaitan fenomena luar angkasa, ini merupakan naskhah yang sangat sesuai untuk anda.

Walau bagaimanapun, dengan durasi sekitar 2 jam 25 minit, saya merasakan filem ini sedikit terlalu panjang dan terdapat beberapa bahagian yang terasa agak perlahan. Pada pandangan saya, ia masih boleh disunting dengan lebih padat sehingga sekitar dua jam atau kurang tanpa menjejaskan keseluruhan penceritaan.

Namun begitu, kelemahan tersebut tidak menghalang Disclosure Day daripada menjadi antara filem antarabangsa terbaik yang saya tonton pada tahun ini. Malah, ini juga merupakan antara naskhah yang paling saya gemari sepanjang tahun 2026, walaupun saya percaya akan ada penonton yang mempunyai pandangan berbeza. Bagi saya, Disclosure Day berjaya menawarkan pengalaman tontonan yang unik, berani dan meninggalkan kesan tersendiri selepas keluar dari pawagam.

Pada masa sama, perlu diingat bahawa ini bukanlah filem untuk semua orang. Sama seperti anda menonton karya-karya Christopher Nolan yang memerlukan sedikit kesabaran dan tumpuan untuk memahami keseluruhan penceritaan, begitulah juga dengan Disclosure Day.
Disclosure Day bakal ditayangkan di layar perak bermula 11 Jun ini. Jika berpeluang, saya sangat mengesyorkan anda menontonnya dalam format IMAX bagi mendapatkan pengalaman yang lebih imersif.
Skor: 8/10 (80%) ⭐⭐⭐⭐☆

