in

Xavier Naxa Istana Budaya Jalin Kerjasama Strategik, Buka Lembaran Baharu Dalam Seni dan Hiburan

KUALA LUMPUR, 10 Ogos 2026 — XN Media Network, menerusi jenama Xavier Naxa, mencatat satu lagi lembaran baharu apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Istana Budaya sebagai rakan strategik bagi tahun 2026.

Kerjasama ini dilihat sebagai satu anjakan baharu buat media yang menguruskan platform Xavier Naxa, khususnya dalam memperluas penglibatan dalam bidang seni, warisan, budaya, hiburan dan gaya hidup.

Sedia maklum, Xavier Naxa pada awalnya lebih dikenali sebagai sebuah media yang memberi tumpuan kepada dunia teknologi, khususnya produk serta ekosistem Apple. Teknologi menjadi tunjang utama kandungan Xavier Naxa sejak awal penglibatannya dalam dunia media.

Namun, sekitar tahun 2017, hala tuju Xavier Naxa mula berkembang dengan lebih serius apabila tumpuan tidak lagi terhad kepada teknologi semata-mata, sebaliknya diperluaskan kepada hiburan, gaya hidup, kewangan dan pelbagai lagi bidang yang dekat dengan masyarakat.

Kendatipun begitu, bidang teknologi akan terus dipegang sepenuhnya oleh pengasasnya, Encik Arel. Dalam masa yang sama, pengurusan bagi segmen hiburan, gaya hidup, seni dan kandungan berkaitan diberikan kepada pasukan Xavier Naxa yang diketuai oleh Pengurus Kandungan Digital.

Menurut pengasas Xavier Naxa, perkembangan tersebut merupakan satu langkah yang sangat baik kerana ia memberikan peluang kepada pasukan untuk mempelbagaikan kemahiran, pengalaman serta jaringan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

Kepercayaan yang diberikan kepada pasukan juga membolehkan setiap individu memainkan peranan berdasarkan kepakaran masing-masing, sekali gus mengukuhkan lagi struktur Xavier Naxa dalam menghadapi landskap media yang semakin berkembang.

Dalam perkembangan sama, pengurus kandungan digital Xavier Naxa turut menerima sijil penghargaan daripada Istana Budaya pada 10 Ogos 2026 sebagai sebahagian daripada jalinan strategik yang dibentuk antara kedua-dua pihak.

Lagi artikel di ifon.my  Panggung Sari Kembali Bernafas, Istana Budaya Susun Rangkaian Seni Bertaraf Dunia

Penghargaan tersebut dilihat sebagai satu permulaan yang cukup bermakna dalam memperkenalkan penglibatan Xavier Naxa dengan institusi seni persembahan negara, selain membuka ruang kepada lebih banyak bentuk kerjasama pada masa akan datang.

Seperti diketahui, Istana Budaya bukan sekadar sebuah institusi yang menjadi wadah kepada seni persembahan, bahkan mempunyai peranan penting dalam memperkasa bahasa Melayu, seni dan warisan budaya negara.

Justeru, kerjasama ini memberi ruang lebih besar kepada Xavier Naxa untuk membantu mengetengahkan pelbagai aktiviti dan acara seni kepada masyarakat menerusi kekuatan platform digital yang dimiliki, termasuk acara teater, persembahan pentas dan program hiburan yang berlangsung di Istana Budaya.

Hatta, penglibatan ini juga bukan sekadar mahu melihat seni dan budaya dari sudut hiburan semata-mata. Sebaliknya, ia membuka peluang kepada Xavier Naxa untuk menggunakan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki bagi membantu memperluas capaian kandungan seni serta budaya kepada generasi yang lebih dekat dengan dunia digital.

Bagi Xavier Naxa, usaha memartabatkan bahasa Melayu juga sentiasa menjadi antara perkara yang diberi perhatian. Maka, kerjasama bersama Istana Budaya ini hadir pada waktu yang cukup signifikan kerana ia memberikan lebih banyak akses untuk bersama-sama memperkasa bahasa, seni dan budaya Melayu di peringkat nasional.

Namun begitu, pihak Xavier Naxa melihat kerjasama ini bukan sekadar satu persetujuan yang tercatat di atas kertas. Ia merupakan satu tanggungjawab yang perlu diterjemahkan melalui tindakan dan hasil yang boleh dirasai.

Pasukan Xavier Naxa mahu memastikan segala peluang, kepercayaan dan ruang yang diberikan oleh Istana Budaya dimanfaatkan sebaik-baiknya. Lebih penting, kerjasama tersebut diharapkan dapat menghasilkan impak yang lebih besar kepada perkembangan seni persembahan, hiburan dan budaya tempatan.

Lagi artikel di ifon.my  Persembahan Terakhir Joey BPR di Istana Budaya, Perginya Seorang Legenda

Dalam pada itu, pasukan Xavier Naxa turut melihat hubungan ini sebagai peluang untuk berkongsi kemahiran, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki dalam bidang media digital, selain membina jaringan yang lebih luas dengan penggiat serta pihak berkepentingan dalam industri seni dan hiburan.

Sebermula daripada sebuah media yang membina namanya dalam dunia teknologi, Xavier Naxa kini memasuki satu fasa yang lebih luas tanpa melupakan akar yang menjadi asas kepada pembinaannya.

Cabang baharu yang merangkumi hiburan, gaya hidup, seni dan budaya bukanlah pengganti kepada teknologi, sebaliknya melengkapkan perjalanan XN Media Network sebagai sebuah media yang semakin berkembang mengikut denyut nadi masyarakat.

Bagi pengasas Xavier Naxa, peluang yang diberikan ini merupakan satu amanah yang besar kepada beliau dan seluruh pasukan. Kepercayaan daripada Istana Budaya akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan hubungan yang terjalin bukan sekadar berlangsung untuk satu tempoh, tetapi mampu berkembang menjadi sebuah jaringan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Pihak pengasas Xavier Naxa dan seluruh pasukan XN Media Network turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Istana Budaya atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk berkongsi bakat, kemahiran serta pengalaman dalam usaha menyokong perkembangan seni dan hiburan tanah air.

Mudah-mudahan jalinan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kerjasama selepas ini, khususnya dalam memperkasa seni persembahan, mengangkat bahasa Melayu, menyemarakkan warisan budaya serta memperkenalkan karya dan acara tempatan kepada khalayak yang lebih luas.

Kerana pada akhirnya, sebuah kerjasama tidak seharusnya hanya berhenti pada nama dan dokumen. Ia perlu dizahirkan melalui usaha, karya dan impak.

Dan bagi XN Media Network, lembaran baharu ini baru sahaja bermula.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Selepas 26 Tahun, Dato’ Khadijah Ibrahim Kembali Dengan ‘Ibu Doa’

Panggung Sari Kembali Bernafas, Istana Budaya Susun Rangkaian Seni Bertaraf Dunia