in

Persembahan Terakhir Joey BPR di Istana Budaya, Perginya Seorang Legenda

Malam 28 Ogos 2026 sepatutnya menjadi sebuah malam seni yang meraikan muzik dan budaya tempatan. Namun, tanpa diduga, pentas Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia di Istana Budaya menjadi pentas terakhir buat vokalis Bumiputra Rockers (BPR), Joey.

Kami sempat hadir ke Istana Budaya malam semalam dan menyaksikan sendiri persembahan terakhir Allahyarham. Pada ketika itu, jelas kelihatan Joey BPR berada dalam keadaan kurang sihat dan agak lemah ketika berada di atas pentas. Namun, beliau tetap meneruskan persembahan dan sempat menyampaikan dua buah lagu kepada penonton.

Sebaik sahaja nyanyiannya tamat, kami melihat Allahyarham seperti mengalami kesukaran untuk bernafas. Pihak Istana Budaya segera bertindak mengawal keadaan dan memberikan bantuan sebelum Joey dibawa menaiki van ambulans yang sememangnya telah berada di lokasi.

Pada waktu itu, kami tidak pernah menyangka bahawa apa yang kami saksikan adalah detik-detik terakhir seorang legenda di atas pentas. Persembahan yang pada mulanya sekadar sebuah malam seni bertukar menjadi memori yang akan kami ingat untuk sekian lama.

Lagi artikel di ifon.my  Xavier Naxa Istana Budaya Jalin Kerjasama Strategik, Buka Lembaran Baharu Dalam Seni dan Hiburan

Kami begitu terkejut apabila menerima berita awal pagi tadi bahawa Joey BPR telah meninggal dunia.

Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 63, menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.11 pagi, 29 Ogos 2026 di Hospital Kuala Lumpur. Pemergiannya disahkan oleh isterinya, Zarinah Zainal.

Lebih menyentuh hati, beberapa jam sebelum pemergiannya, Allahyarham masih berdiri di hadapan penonton, menyanyikan lagu dan memberikan persembahan terakhirnya. Tiada siapa yang berada di situ menyangka pentas tersebut bakal menjadi pentas terakhir Joey BPR.

Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia anjuran Istana Budaya berlangsung pada 28 dan 29 Ogos 2026, menampilkan barisan penggiat seni tanah air termasuk Safura, Ameng Spring, Zamani Slam dan ramai lagi.

Joey BPR pula meninggalkan sebuah kenangan yang tidak mungkin dapat diulang. Nyanyian terakhirnya di Istana Budaya kini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi menjadi sebahagian daripada perjalanan terakhir seorang anak seni yang telah lebih empat dekad mewarnai muzik rock tempatan.

Lagi artikel di ifon.my  Xavier Naxa Istana Budaya Jalin Kerjasama Strategik, Buka Lembaran Baharu Dalam Seni dan Hiburan

Ada kalanya kita menyaksikan sesuatu tanpa mengetahui bahawa ia akan menjadi kali terakhir. Semalam, kami melihat Joey BPR menyanyi. Hari ini, kami mengenangnya sebagai sebuah legenda.

Selamat jalan, Joey BPR. Terima kasih atas suara, lagu dan kenangan yang pernah diberikan kepada peminat muzik tanah air.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Johari Mat Rozekhi, mengampuni segala dosa dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Al-Fatihah.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

All Wishes Come True: Setanding Ne Zha?