Bulan lepas saya ada menghantar soalan berhubung hukum membeli atau melanggan kad jaminan atau waranti kepada Pejabat Mufti Selangor.Soalan ini merujuk kepada penawaran pelan pelindungan atau waranti tambahan yang disediakan oleh Penjual Berdaftar (AAR) serta Apple sendiri. Pelan atau waranti tambahan ini melindungi sebarang kerosakan disebabkan oleh kecuaian manusia seperti pecah, kerosakan disebabkan oleh cecair dan lain-lain.
Boleh dikatakan kebanyakan AAR menawarkan pelan pelindungan mereka yang tersendiri. Malah ada yang menawarkan sehingga dua tahun jaminan dalam sekali bayaran.Bagi mengelakkan sebarang isu berkait hukum, berikut soalan yang saya utarakan dan jawapan yang dikeluarkan hari ini oleh Pejabat Mufti Selangor kepada saya.
Soalan daripada saya:
Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Tuan/Puan berkenaan hukum membeli/melanggan waranti. Jawapan ini dapat saya kongsi kepada semua warga maya:
Soalan 1
Kebanyakan peralatan elektronik terutama telefon pintar, komputer riba, jam pintar dan lain-lain menawarkan waranti selama 12 bulan. Waranti ini tidak melindungi isu berkait KECUAIAN MANUSIA. Oleh yang demikian, Penjual Berdaftar (AAR) / kedai elektronik telah menawarkan Pelan Pelindungan yang membolehkan pembeli menambah sewaktu membeli produk tersebut.
Contoh,
Ali membeli iPhone, dan kedai menawarkan Pelan Pelindungan tambahan dengan membayar RM200 untuk jaminan setahun. Pelan Pelindungan ini menjamin sebarang kerosakan disebab KECUAIAN MANUSIA. Ali perlu melanggan pelan ini sewaktu membeli iPhone tersebut.
iPhone 13 : RM3,599 + RM200 (Pelan Pelindungan) – dibayar sewaktu pemnbelian
Jika pelan pelindungan tersebut berkonsepkan Takaful adakah sah?Jika pelan pelindungan tersebut berkonsepkan konvensional adakah sah?
Soalan 2
Masih berkisar (contoh 1).
Terdapat pelan pelindungan yang menawarkan tambahan Pelan Pelindungan untuk tahun seterusnya (kedua). Adakah dibenarkan?
Contoh,
Setelah setahun Ali menggunakan iPhone, tiada tuntutan dibuat. Disebabkan mahu mengelakkan kejadian yang tidak diingi seperti iPhone pecah dan kos gantian amat tinggi. Ali telah membayar Pelan Pelindungan untuk tahun kedua.
Adakah tindakan Ali sah?
Soalan 3
Terdapat juga kedai yang menawarkan pembelian Pelan Pelindungan dalam tempoh 60 hari selepas pembelian. Contoh,
Abu membeli iPhone 13, dalam tempoh sebulan menggunakan iPhone 13, dia telah membayar RM500 untuk menambah Pelan Pelindungan disebabkan tempoh membeli Pelan Pelindungan berbaki 30 hari lagi.
Adakah Abu boleh membeli tambahan waranti tersebut selepas sebulan membeli iPhone? Pelan ini menawarkan pelindungan atas KECUAIAN MANUSIA.
Berikut jawapan daripada Pejabat Mufti Selangor
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Dibenarkan menjual barang bersama dengan waranti servis baik pulih dalam tempoh tertentu atau disebut standard warranty. Ini termasuk dalam bab al-Wa`d atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli.Kedua-duanya adalah diharuskan.
Tetapi jika membeli kad jaminan atau extended warranty yang berasingan daripada barang seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, Ini adalah tidak harus kerana mengandungi gharar.Ini kerana dia membeli atau membayar suatu yang bersifat mungkin dan tidak tentu; sama ada dia memperoleh manfaat daripada servis baikpulih tersebut atau mungkin tidak dapat.
Kebanyakan ulama kontemporari memutuskan ia haram. Ini kerana pembelian tersebut melibatkan ketidakpastian sama ada sesuatu yang dibeli itu ada atau tidak atau berlaku atau tidak.Dengan kata lain, kerosakan adalah suatu yang tidak pasti akan berlaku, namun bayaran sudah dibuat. Inilah dipanggil ketidakpastian atau gharar dan perjudian atau qimar, satu bentuk judi yang diharamkan.Asasnya seperti insuran konvensional.
Justeru, jika dilakukan atas konsep takaful, maka dibenarkan. Berdasarkan ketiga-tiga situasi adalah dalam kategori extended warranty yang mana ia adalah diharamkan sebagaimana sebab-sebab di atas. Pengharaman ini sama kaedahnya sebagaimana haramnya insurans disebabkan gharar (ketidakpastian) dan qimar (perjudian).Adapun sekiranya ia didasari dengan takaful, maka diharuskan atas aqad tabarruq.
والله أعلم بالصواب
Diharap perkongsian saya ini dapat membantu rakan-rakan semua untuk membuat penilaian sewajarnya sebelum membeli kad jaminan atau pelan pelindungan yang ditawarkan oleh AAR atau Apple sendiri.
SEKADAR MEMBANTU