in , ,

PETAKA GUNUNG GEDE: SERAM PENUH PENGAJARAN

Tahun ini, industri filem seram dari negara seberang telah membanjiri pasaran Malaysia. Namun, tidak semua naskah berjaya meninggalkan kesan mendalam dalam hati penonton.

Kebanyakan filem seram yang ditayangkan sekadar memenuhi layar perak, namun gagal memukau penonton. Kontradiksi dengan Petaka Gunung Gede yang dianggap satu pengecualian.

Diangkat daripada kisah benar yang diceritakan semula oleh Maya Azka, seorang saksi kejadian pada tahun 2007, filem ini berjaya menggabungkan elemen seram dengan pengajaran yang bermakna.

Kisah ini bukan sekadar tentang hantu atau kejadian mistik, tetapi juga tentang persahabatan, kepercayaan, dan keputusan yang boleh mengubah hidup.

Dibintangi oleh barisan pelakon muda berbakat seperti Arla Ailani, Adzana Ashel, Endy Arfian, Raihan Khan, Moh. Iqbal Sulaiman, dan Jeremie Moeremans, filem ini berjaya membawa penonton merasai ketegangan dan emosi yang mendalam.

Kisah bermula sebaik Maya mendengar hasrat abangnya untuk mendaki Gunung Gede. Maya yang teringin untuk mendaki ke puncak telah mempelawa Ita untuk turut bersama.

Walaupun ibu Ita awalnya berat hati membenarkan anaknya mendaki, izin daripada ayahnya akhirnya membuka jalan untuk mereka memulakan ekspedisi ini. Perjalanan mereka ke Gunung Gede penuh dengan harapan dan semangat.

Lagi artikel di ifon.my  Ketindihan: Filem Seram Tiada Arah Tuju?

Namun, malam pertama di kaki gunung menyaksikan satu kejadian yang mengubah segalanya. Ita, yang didatangi haid, dirasuk oleh penunggu gunung. Walaupun kerasukan itu hanya sementara, ia menjadi petanda awal bahawa sesuatu yang lebih besar sedang menanti.

Keesokan harinya, mereka tetap meneruskan pendakian, walaupun abang Maya dan rakan-rakannya cuba memujuk Ita untuk membatalkan rancangan. Di sinilah bermulanya siri kejadian seram yang semakin memuncak, menghantui Ita dan menguji kekuatan persahabatan mereka.

Filem ini berjaya mencipta suasana seram yang mendebarkan. Babak-babak ngeri seperti kerasukan Ita dan kejadian mistik di puncak gunung berjaya membuatkan penonton terasa tidak senang duduk. Sinematografi yang memukau, terutama di puncak gunung, menambahkan lagi elemen visual yang mempersonakan.

Tidak ketinggalan, kesan solekan yang realistik dan runut bunyi yang menggamit kenangan lama daripada kumpulan Shiela On 7 menambahkan lagi daya tarikan filem ini.

Walaupun jalan cerita Petaka Gunung Gede menarik dan berbeza daripada filem seram Indonesia yang lain, terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki. Beberapa babak dirasakan tergesa-gesa, dan penceritaan boleh diperincikan lagi untuk memberi kesan yang lebih mendalam.

Lagi artikel di ifon.my  Bisikan Dosa Penuh Kejutan

Namun, secara keseluruhan, filem ini berjaya menambat hati penonton dengan gabungan elemen seram, emosi, dan pengajaran yang bermakna. Tidak hairanlah filem ini menjadi filem terlaris di Indonesia tahun ini dengan lebih 3 juta penonton.

Sewaktu Tayangan Perdana di TGV Suria KLCC, filem ini berjaya meraih sambutan hangat daripada penonton. Tepukan gemuruh mengiringi tamatnya filem, membuktikan bahawa Petaka Gunung Gede berjaya meninggalkan kesan yang mendalam.

Petaka Gunung Gede bukan sekadar filem seram biasa. Ia adalah sebuah kisah yang menggabungkan ketakutan, emosi, dan pengajaran dalam satu paket yang padu.

Jika anda penggemar filem seram yang ingin merasai pengalaman menonton yang berbeza, jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini.

Filem ini bakal menghantui pawagam TGV bermula 26 Mac 2025 (tayangan awal). Siapkan diri anda untuk sebuah pengalaman menonton yang tidak akan mudah dilupakan!

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Raikan Ramadan Dan Syawal Ini Dengan Membeli Samsung Galaxy S25 Ultra Dan Miliki Samsung Galaxy S25 Secara Percuma Melalui Pelan U Family 128