Buat peminat rancangan realiti nyanyian, bersedialah untuk pengalaman baharu yang lebih segar, dinamik dan penuh inspirasi.
Astro kini mempersembahkan Raise The Star Malaysia, sebuah program nyanyian yang mengetengahkan konsep unik dari lensa para komposer terkenal negara.

Program ini bakal menemui penonton mulai 22 Jun 2025, setiap Ahad, jam 9 malam secara langsung di Astro Ria (Saluran 104) dan turut boleh distrim menerusi Astro GO serta sooka.
Kontradiksi dengan program nyanyian biasa, Raise The Star Malaysia mengangkat lima figura hebat dalam dunia muzik tempatan iaitu Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah dan Ikhwan Fatanna untuk mencari dan membimbing bakat baharu.

Mereka bukan sekadar juri, malah bertindak sebagai mentor dan pencipta karya khas yang akan dinyanyikan oleh peserta pilihan mereka di pentas akhir.
Diinspirasikan daripada format rancangan nyanyian antarabangsa, program ini membawa pendekatan bertaraf global, tetapi dengan sentuhan tempatan yang lebih dekat di hati.

Seramai 30 peserta terpilih dari pelbagai latar belakang dan peringkat umur telah melepasi dua peringkat uji bakat secara digital dan fizikal.
Setiap minggu, peserta akan berdepan pelbagai tugasan dari persembahan solo, duet sehinggalah ke kolaborasi kreatif.
Hanya terbaik akan mara ke peringkat seterusnya dan berpeluang menjadi fenomena muzik baharu negara.



Dua personaliti popular akan mengendalikan program ini iaitu Alif Satar dan Sherry Alhadad. Dengan gandingan mantap dan gaya bersahaja mereka, pasti penonton akan terus melekat di hadapan kaca TV.
Konsert mingguan pula akan diadakan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam, menjanjikan persembahan penuh gaya sepanjang 8 minggu siaran.

Paling mencuri perhatian, program ini memperkenalkan ‘Slay Meter’, iaitu sistem kedudukan yang memberikan rating 1 hingga 5 ‘slay’ berdasarkan persembahan peserta.
Bintang yang menerima 5 slay bakal membawa pulang hadiah wang tunai tajaan penaja.Namun, peserta dengan kedudukan terendah akan disingkirkan setiap minggu.

Jadi, undian daripada penonton amat penting. Program ini mendapat sokongan padu daripada QSR Brands (KFC) dan U Mobile selaku penaja utama.
Dengan gabungan bakat, kreativiti dan emosi, Raise The Star Malaysia bukan sahaja menjanjikan hiburan berkualiti, tetapi juga menjadi pentas untuk melahirkan bintang sebenar.

Jangan ketinggalan menyaksikan perjalanan hebat ini siapa tahu, anda sedang menyaksikan lahirnya ikon muzik seterusnya.