Assalamualaikum Baitullah ialah sebuah filem dari Indonesia yang sarat dengan konflik kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan. Naskhah ini menyingkap kisah Amira (Michelle Ziudith), seorang isteri yang hidup dalam penderitaan selepas mengetahui suaminya, Pram (Miqdad Addausy), berlaku curang. Alasan Pram cukup kejam Amira dianggap gagal memberi zuriat selepas lima tahun perkahwinan.

Lebih menyedihkan, Amira mengalami keguguran akibat tekanan emosi, sedangkan Pram pula memilih untuk bertanggungjawab terhadap kekasih gelapnya yang sedang hamil. Terluka dan tertekan, Amira akhirnya memohon cerai dan hampir menamatkan riwayatnya sendiri. Namun, takdir menemukan Amira dengan seorang lelaki misteri yang menyelamatkannya Barra (Arbani Yasiz).

Kata-kata semangat daripada lelaki misteri itu memberi kekuatan baharu kepada Amira. Dari situ, dia bangkit membina semula kehidupannya dengan menganjurkan sebuah acara berteraskan Islam yang menampilkan pelbagai reruai. Dalam usahanya membina empayar perniagaan, Amira turut dibantu oleh sahabat baiknya, Amel (Tissa Biani Azzahra). Tanpa disangka, pada acara itu Amira bertemu semula dengan Barra, yang menyertai sebagai penyewa reruai. Sejak itu, hubungan mereka mula rapat, meskipun Amira tidak mengetahui bahawa Barra ialah lelaki misteri yang pernah menyelamatkannya.

Namun, kehidupan Amira sekali lagi dilanda kerumitan. Barra rupa-rupanya telah dicalonkan bersama Amel sebagai pasangan hidup, satu wasiat terakhir arwah ayahnya. Situasi menjadi semakin rumit apabila Pram, bekas suaminya, tiba-tiba muncul dengan niat untuk merujuk kembali.



Secara peribadi, Assalamualaikum Baitullah menawarkan penceritaan yang padat dengan emosi dan penuh konflik. Walaupun plotnya agak kompleks dan sesekali terasa berserabut, kekuatan utama filem ini terletak pada sinematografi yang indah serta tona warna yang menawan. Lakonan para pelakon juga berkesan, meskipun ada beberapa babak yang secara tidak langsung mencuit hati.

Filem ini mula ditayangkan hari ini. Jika anda mencari sebuah naskhah penuh drama, konflik dan pengajaran hidup, Assalamualaikum Baitullah adalah pilihan yang tepat.