The Strangers ialah sebuah filem slasher yang penuh debaran, cukup untuk membuat penonton berasa tidak senang duduk sepanjang tayangan.
Kisahnya bermula dengan sepasang kekasih yang terkandas di sebuah perkampungan terpencil selepas kereta mereka rosak. Tanpa pilihan lain, mereka terpaksa bermalam dan bernasib baik apabila ditawarkan sebuah rumah inap yang selesa.

Segalanya tampak baik sehinggalah pada malam itu muncul seorang gadis misteri mengetuk pintu dan bertanyakan tentang seseorang bernama “Tamara”.
Tingkah laku pelik gadis tersebut membuat si teman lelaki berang lalu menghalaunya. Namun, sejak saat itu, mimpi ngeri mereka pun bermula.

Tiga individu bertopeng tiba-tiba muncul dan memburu mereka tanpa sebab yang jelas. Sejak itu, detik cemas dan perjuangan untuk terus hidup tidak dapat dielakkan.
Persoalannya, adakah mereka mampu bertahan? Jawapannya hanya ada di layar perak.
Secara peribadi, filem ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Namun, kelemahan pada jalan cerita menyebabkan ia kadangkala terasa longgar dan berulang.

Tiada motif yang kukuh, lokasi yang terbatas serta penamat yang tergantung menjadikan ia agak mengecewakan.Chapter 1 berakhir dengan tanda tanya besar, dan mujurlah Chapter 2 terus menyusul, sedikit sebanyak mendedahkan asal-usul si penjahat bertopeng.
Walau bagaimanapun, masih banyak persoalan dibiarkan tanpa jawapan seolah-olah pengarah ingin melanjutkan kisah ini ke beberapa bab lagi.



Penamat Chapter 2 juga tergantung sesuatu yang membuat saya kurang menggemari gaya penceritaan sebegini.Lebih membimbangkan, jalan ceritanya terasa berulang. Watak utama yang sepatutnya mati masih hidup, tetapi tetap diburu oleh penjahat yang sama.
Ia kembali kepada naratif lama, melarikan diri, bersembunyi, dan cuba menyelamatkan diri. Demikianlah hingga ke penghujung.
Namun begitu, harus diakui, elemen ngeri dan kejutan dalam filem ini memang berjaya membuat jantung berdegup kencang. Jika anda peminat tegar filem bunuh-membunuh, The Strangers sememangnya sesuai ditonton.

Cuma, kelemahan pada plot mungkin membuatkan anda berasa sedikit kecewa di akhir cerita.Secara keseluruhan, The Strangers bukanlah sebuah filem yang lemah. Filem ini tetap berjaya menampilkan suspen dan debaran, namun kelemahan dalam garapan naratif menjadikan ceritanya kurang kemas.
Rasanya seakan membawa penonton kembali ke era 90-an dengan judul seperti Halloween seram, mendebarkan, tetapi tidak begitu segar.
The Strangers Chapter 2 akan mula ditayangkan di pawagam pada 2 Oktober ini. Bagi peminat genre pembunuhan, filem ini mungkin menjadi tontonan pilihan anda.
Skor: 4.5/10 (45%)