KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2025 – Seorang pelabur warga British bersama sekumpulan pelabur dari Malaysia tampil membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli perniagaan, Datuk Wira Ranjeet Singh Sidhu, yang didakwa menipu mereka melalui skim pelaburan bernilai jutaan ringgit.
Kru Xavier Naxa turut dijemput menghadiri sidang media yang diadakan di Nu Sentral bagi mendengar penjelasan penuh daripada pihak yang terlibat serta mendapatkan input mengenai kes berprofil tinggi ini.
Menurut maklumat yang dikongsikan semasa sidang media tersebut, aduan yang difailkan itu berkaitan satu rangkaian pelaburan berunsur penipuan yang dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2018 melalui beberapa syarikat seperti 3Lyon Holdings Berhad, Vascory Berhad, Vascory Limited, 3Lyon Capital, dan Kuber Venture.

Skim berkenaan dikatakan memperdaya ratusan pelabur dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan melebihi RM300 juta.
Pengerusi Kumpulan Tindakan MaPeR, Shah Abdul Malek, yang mengetuai usaha membantu mangsa sejak tahun lalu, memaklumkan bahawa kes ini turut melibatkan syarikat korporat, agensi kerajaan negeri, serta institusi kebajikan.
“Kami percaya jumlah keseluruhan penipuan ini hampir mencecah RM1 bilion. Seorang usahawan dari United Kingdom, Lee Rodger Meiklejohn, sahaja kerugian hampir RM60 juta akibat skim pelaburan yang dikendalikan oleh Ranjeet,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa agensi kerajaan negeri di Kedah, Melaka dan Perlis, serta sebuah persatuan anak yatim di Pulau Pinang dan sebuah institut penyelidikan Islam, dipercayai turut menjadi mangsa skim berkenaan.

Siasatan awal mendapati, sebahagian pelabur diperdaya oleh ejen yang menyamar sebagai pegawai bank ternama, menawarkan skim pelaburan kononnya diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan dilindungi oleh insurans. Ada juga pelabur yang mudah percaya kerana beberapa tokoh korporat bergelar Tan Sri dikaitkan sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat terbabit.
Antara kes yang diketengahkan ialah laporan yang dibuat oleh Lee Meiklejohn pada 6 November 2023, yang mendakwa beliau ditipu sebanyak GBP10 juta (sekitar RM60 juta) apabila wang pelaburannya disalurkan ke akaun syarikat lain milik Ranjeet.


Walaupun laporan telah dibuat hampir setahun lalu, siasatan dikatakan masih belum menunjukkan perkembangan ketara.Turut hadir ialah beberapa mangsa tempatan, termasuk seorang warga emas yang kehilangan lebih RM2.75 juta, serta seorang pesara yang mendakwa keseluruhan simpanan hari tuanya hangus selepas melabur dalam syarikat berkaitan Ranjeet.
Shah menegaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati kebanyakan syarikat di bawah kawalan Ranjeet tidak menjalankan sebarang perniagaan sah, sebaliknya digunakan untuk memindahkan dana pelabur kepada individu tertentu dalam sindiket berkenaan.
“Ramai pelabur terpedaya dengan janji manis pulangan tinggi bebas cukai serta jaminan palsu. Sebenarnya, semua dana itu disalahgunakan untuk kepentingan peribadi,” jelasnya.
Skim tersebut disyaki melibatkan pelbagai pelanggaran undang-undang termasuk pecah amanah, pengubahan wang haram, serta pelanggaran Akta SPRM, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan, Akta Syarikat, dan Kanun Keseksaan.
MaPeR kini menggesa pihak berkuasa agar membekukan aset, menjalankan siasatan menyeluruh, dan membawa pihak terlibat ke muka pengadilan.Dalam masa sama, Shah turut mendakwa bahawa Ranjeet kini sedang berusaha menggulung syarikat-syarikat pelaburannya bagi mengelak tanggungjawab terhadap mangsa.
Beberapa individu berprofil tinggi didakwa turut campur tangan dalam proses mahkamah untuk memastikan pelabur tidak memperoleh semula dana mereka.
“Kami akan terus berjuang dan mendedahkan segala penyelewengan ini supaya wang pelabur dapat dipulihkan dan keadilan ditegakkan,” tegas Shah.
Mangsa yang ingin mendapatkan bantuan boleh menghubungi Sekretariat MaPeR di talian 017-4477 675 atau emel maper.action@gmail.com.