in

ATLAS Vending dan SW Corp Kukuhkan Agenda Hijau Negara dengan Pemasangan 50 Unit ECOPOD

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2025 Usaha memperkukuh budaya kitar semula di Malaysia melangkah ke fasa baharu apabila ATLAS Vending, anak syarikat kepada Etika Sdn. Bhd., menjalin kerjasama strategik dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SW Corp).

Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di ibu pejabat SW Corp, Cyberjaya itu menandakan permulaan inisiatif nasional yang menyatukan kepakaran sektor awam dan swasta dalam memacu gaya hidup lebih lestari untuk rakyat Malaysia.

Menerusi kerjasama ini, sebanyak 50 unit ECOPOD, mesin kitar semula pintar hasil rekaan ATLAS Vending, akan ditempatkan di lokasi strategik seluruh negara termasuk pasar awam, universiti, hospital dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Mesin ini bukan sahaja menjimatkan ruang, malah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai mesin kitar semula paling nipis di dunia yang dilengkapi sistem pemampatan tin automatik.Reka bentuk ECOPOD yang kompak menjadikannya sesuai di kawasan tumpuan awam yang sibuk.

Setiap unit mampu menampung sehingga 214 tin termampat dan 70 botol plastik, sekali gus memperlihatkan gabungan inovasi dan kecekapan dalam satu sistem.

Tidak seperti mesin kitar semula konvensional, ECOPOD turut berfungsi sebagai mesin layan diri, membolehkan pengguna mengitar semula dan menebus minuman dalam satu pengalaman yang menyeluruh serta interaktif.

Sistemnya yang mesra pengguna menjadikan kitar semula lebih mudah dan menyeronokkan. Pengguna hanya perlu memasukkan nombor telefon untuk mula mengitar semula, manakala produk Etika yang dikitar semula akan memberikan ganjaran kredit segera yang boleh ditebus di mesin layan diri berhampiran.

Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan amalan hijau, tetapi turut menjadikan aktiviti kitar semula lebih relevan dalam kehidupan harian.Ketua Pegawai Eksekutif Etika Sdn. Bhd., Santharuban T. Sundaram, menyifatkan ECOPOD sebagai bukti bahawa inovasi mampu memupuk perubahan sosial yang bermakna.

Kami mahu menjadikan kitar semula sebahagian daripada gaya hidup moden. ECOPOD bukan sekadar mesin, tetapi satu gerakan untuk mengubah cara masyarakat melihat nilai bahan terpakai. Setiap tin atau botol yang dikitar semula adalah langkah kecil ke arah masa depan yang lebih bersih dan bertanggungjawab,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SW Corp, YBrs. Tuan Khalid Bin Mohamed, pula menegaskan bahawa kolaborasi ini mencerminkan pendekatan baharu dalam mengukuhkan ekosistem kitar semula negara.

Kerjasama bersama ATLAS Vending menunjukkan bagaimana sektor awam dan swasta boleh bersatu dalam memperkukuh budaya hijau. ECOPOD membuka peluang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk terlibat secara langsung dalam usaha memelihara alam sekitar,” ujarnya.

Sebagai inovasi buatan Malaysia sepenuhnya, ECOPOD membuktikan bahawa penyelesaian tempatan mampu menyaingi teknologi antarabangsa.

Penempatan mesin ini di kawasan awam bukan sahaja memudahkan rakyat mengitar semula, malah menyokong Rangka Kerja Kelestarian Plastik 2021 hingga 2030, yang menekankan kerjasama masyarakat dalam membentuk tabiat lestari jangka panjang.Sejak diperkenalkan pada Mei 2025, ECOPOD telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna dan sektor korporat, dengan sasaran 100 unit dijangka tercapai menjelang hujung tahun pertama pelaksanaannya.

MoU antara ATLAS Vending dan SW Corp ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi menjadi simbol komitmen bersama ke arah membina Malaysia yang lebih hijau, mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, satu langkah kecil yang membawa makna besar kepada generasi akan datang.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Pelabur Tempatan dan Warga Asing Lapor kepada SPRM, Dakwa Ditipu Skim Pelaburan Mencecah RM66 Juta

Kumpulan Suria KLCC Serikan Deepavali dengan Kempen ‘Lotus of Light’ di Tiga Pusat Beli-belah