SSaya terbaca satu komen daripada Mark Gurman berhubung Bar Sentun (Touch Bar) bagi MacBook Pro. Sejujurnya saya bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan beliau mengenai Touch Bar. Jika dilihat semula, Touch Bar sebenarnya muncul pada waktu pasaran komputer riba sedang bergerak ke arah pengalaman skrin sentuh yang semakin meluas.. Pengeluar PC seperti Microsoft, Dell Technologies, HP Inc. dan Lenovo sudah mula menawarkan pelbagai model komputer riba dengan sokongan sentuhan, malah ada yang boleh bertukar menjadi tablet.
Namun Apple memilih laluan yang berbeza. Ketika ramai pengguna meminta skrin sentuh pada MacBook, Apple berpendapat bahawa pengalaman komputer dan tablet perlu kekal berasingan. Bagi Apple, tugas sentuhan sudah diuruskan oleh iPad, manakala macOS pula direka untuk digunakan dengan papan kekunci dan pad sesentuh. Disebabkan pendirian ini, Apple tidak mahu memperkenalkan skrin sentuh pada MacBook.

Sebaliknya, Apple memperkenalkan Touch Bar pada tahun 2016. Ia merupakan jalur OLED yang menggantikan kekunci fungsi tradisional dan boleh berubah mengikut aplikasi yang digunakan. Di atas kertas, idea ini kelihatan inovatif. Pengguna boleh mengakses pintasan pantas, kawalan media dan pelbagai fungsi kontekstual tanpa perlu menghafal pintasan papan kekunci.
Malangnya, apa yang kelihatan menarik ketika demonstrasi tidak semestinya praktikal dalam penggunaan harian. Ramai pengguna profesional mendapati Touch Bar lebih lambat berbanding kekunci fizikal. Fungsi yang sentiasa berubah mengikut aplikasi juga menyebabkan pengalaman penggunaan menjadi kurang konsisten. Lebih penting, pengguna terpaksa melihat ke bawah untuk memastikan butang yang ingin ditekan berada di tempat yang betul, sedangkan kekunci fizikal boleh digunakan secara intuitif tanpa perlu mengalihkan pandangan daripada skrin.
Akhirnya, Touch Bar tidak pernah menjadi ciri yang benar-benar diminati ramai. Sebaliknya, ia menjadi salah satu eksperimen Apple yang paling banyak diperdebatkan. Apabila Apple memperkenalkan semula MacBook Pro dengan reka bentuk baharu pada tahun 2021, Touch Bar dibuang dan digantikan semula dengan barisan kekunci fungsi fizikal. Keputusan itu sendiri sudah cukup menunjukkan bahawa Apple mengakui pengguna lebih menghargai penyelesaian yang praktikal berbanding sesuatu yang sekadar kelihatan futuristik.
Apa yang menjadikan komen Mark Gurman menarik ialah bahagian terakhir kenyataannya. Beliau berpendapat Apple akhirnya akan memperkenalkan MacBook berskrin sentuh juga, tetapi hampir sedekad selepas pengeluar lain melakukannya.
Jika laporan mengenai MacBook skrin sentuh yang dijangka hadir dalam beberapa tahun akan datang menjadi kenyataan, ia secara tidak langsung menguatkan hujah bahawa Touch Bar hanyalah penyelesaian sementara untuk mengelakkan penggunaan skrin sentuh penuh pada MacBook. Dalam erti kata lain, Apple cuba mencari jalan alternatif sedangkan pasaran sebenarnya sudah menunjukkan arah yang jelas.
Sejarah teknologi Apple sememangnya dipenuhi dengan produk yang berjaya mengubah industri. Namun Touch Bar bukan salah satu daripadanya. Ia membuktikan bahawa tidak semua idea yang kelihatan revolusioner mampu menyelesaikan masalah sebenar pengguna. Kadangkala, pengguna hanya mahukan penyelesaian yang lebih mudah dan lebih praktikal dan dalam kes ini, skrin sentuh mungkin merupakan jawapan yang Apple cuba elakkan terlalu lama.

