Selepas Toy Story 4 yang menutup perjalanan Woody dengan cukup baik, saya sebenarnya tertanya-tanya sama ada Pixar masih mempunyai cerita yang menarik untuk diteruskan dalam Toy Story 5.

Selepas menontonnya, saya boleh katakan bahawa filem ini berjaya membawa nafas baharu yang menjadikannya terasa lebih segar berbanding filem terdahulu.
Jika sebelum ini Woody sering menjadi nadi utama dalam penceritaan Toy Story, kali ini Pixar memberikan ruang yang lebih besar kepada Jessie untuk menyerlah.

Wataknya menjadi tunjang kepada perjalanan cerita, disokong oleh Buzz Lightyear dan rakan-rakan lain dalam menghadapi cabaran baharu.
Segalanya bermula apabila Bonnie mula hilang minat untuk bermain dengan alat permainannya selepas terpengaruh dengan rakan-rakan yang terlalu leka menggunakan tablet.
.jpg)
Keadaan itu membawa kepada kehadiran sebuah tablet pintar bernama Lilypad yang akhirnya mencetuskan persaingan antara dunia permainan tradisional dan teknologi moden.
Apa yang saya suka, Pixar tidak cuba memaksa mesej yang ingin disampaikan. Sebaliknya, mereka menyelitkan isu pergantungan terhadap peranti pintar secara santai melalui jalan cerita yang menghiburkan.

Komedinya terasa semula jadi, tidak dibuat-buat, dan berjaya mengundang ketawa tanpa mengganggu emosi yang cuba disampaikan.
Sepanjang tempoh tayangan 1 jam 42 minit, saya langsung tidak berasa bosan. Malah, beberapa watak baharu seperti Smarty Pants, Snappy dan Atlas berjaya mencuri perhatian serta memberikan warna tersendiri kepada filem ini.
Dari segi visual, Toy Story 5 tampil dengan animasi yang lebih berkualiti dan terperinci. Pixar sekali lagi membuktikan mengapa mereka masih berada dalam kelas tersendiri apabila menghasilkan filem animasi yang bukan sahaja cantik dipandang, malah mempunyai jiwa dan emosi yang kuat.

Lebih menarik, Toy Story 5 bukan sekadar sebuah filem animasi untuk kanak-kanak. Ia turut membawa pengajaran tentang pentingnya keseimbangan antara dunia digital dan dunia sebenar, terutama dalam kalangan generasi muda yang semakin bergantung kepada peranti pintar.

Pengakhiran filem ini juga memberikan petunjuk yang menarik tentang masa depan Jessie, sekali gus meninggalkan rasa puas hati kepada penonton tanpa perlu bergantung kepada pengakhiran yang terlalu dramatik.
Dan satu perkara penting — jangan terus keluar dari pawagam sebaik sahaja kredit mula dimainkan. Toy Story 5 mempunyai satu babak tambahan ketika kredit akhir yang berbaloi untuk ditunggu.
Skor: 8/10 (80%)

