in ,

All Wishes Come True: Setanding Ne Zha?

Pada awalnya, saya meletakkan harapan yang rendah untuk All Wishes Come True. Saya tidak mengharapkan filem animasi ini mampu menandingi pengalaman yang diberikan oleh Ne Zha. Namun, sebaik sahaja tayangan bermula, ternyata tanggapan awal saya meleset.

All Wishes Come True mengisahkan Lü Dongbin dan Zhongli Quan, dua manusia biasa yang merancang untuk menyamar sebagai makhluk abadi demi menyusup masuk ke sebuah peti besi legenda yang menyimpan harta luar biasa.

Dalam usaha menjayakan rancangan itu, mereka mengumpulkan enam lagi watak, He Xiangu, Tieguai Li, Han Xiangzi, Cao Guojiu, Lan Caihe dan Zhang Guolao.

Lapan manusia biasa ini kemudiannya bergabung untuk melakukan satu rompakan yang hampir mustahil. Namun, rancangan mereka bukan sahaja berdepan risiko maut sekiranya penyamaran terbongkar, malah mereka turut terperangkap dalam satu konspirasi besar yang boleh mengganggu keseimbangan antara dunia manusia dan makhluk abadi.

Lagi artikel di ifon.my  Ne Zha 2 Lepasi Kutipan Global Hampir 9 Bilion Ringgit

Di sinilah All Wishes Come True benar-benar mengejutkan saya. Jalan ceritanya disusun dengan kemas dan setiap watak diberikan perhatian khusus. Lebih menarik, filem ini mempunyai beberapa plot twist yang begitu memukau dan berjaya membuatkan saya terus memberikan perhatian sehingga ke penghujung cerita.

Walaupun ia sebuah filem animasi, pengalaman menontonnya seolah-olah sedang menyaksikan filem aksi nyata. Kualiti animasinya begitu hebat, terutama ketika babak aksi dan pertempuran. Visualnya cukup hidup sehingga membuatkan saya terlupa bahawa apa yang sedang ditonton ialah sebuah animasi.

Tidak keberatan jika saya katakan All Wishes Come True setaraf dengan Ne Zha. Durasi 2 jam 24 minit pula langsung tidak terasa panjang. Malah, selepas tayangan berakhir, saya masih rasa tidak puas menonton dan mahukan lebih lagi.

Lagi artikel di ifon.my  Martabat Misi Berdarah Komedi Spontan yang Menjadi

Filem ini turut diselitkan dengan unsur komedi yang sangat menjadi. Walaupun menggunakan bahasa Cina, jenakanya tetap sampai kepada penonton. Ada beberapa babak yang membuatkan satu dewan tergelak dan ia menjadi pelengkap yang baik kepada aksi serta cerita yang serius.

Bagi saya, All Wishes Come True merupakan antara filem animasi terbaik setakat ini. Ia berjaya mengubah tanggapan awal saya dan membuktikan bahawa sebuah filem animasi mampu memberikan pengalaman seperti menonton sebuah filem aksi sebenar.

Jika anda peminat animasi, aksi, komedi dan cerita yang mempunyai kejutan, filem ini memang wajar diberi peluang. Anda perlu tonton sendiri untuk merasai nikmat sebuah animasi.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Dirakam Dengan Hanya 2 iPhone, Filem Senyap Malaysia Ini Berjaya Menembusi Pentas Antarabangsa