Ada filem yang bergantung pada ledakan aksi. Ada juga yang memilih jalan lebih sunyi, membiarkan emosi memimpin setiap langkah. Heart of the Beast hadir sebagai sebuah pengembaraan yang meletakkan manusia dan seekor anjing di tengah belantara, lalu menguji sejauh mana erti kesetiaan mampu menjadi alasan untuk terus hidup.

Brad Pitt menggalas watak James Belmont, seorang bekas tentera yang terhempas di kawasan hutan belantara bersama anjingnya, Odin. Odin bukan sekadar teman seperjalanan, tetapi anjing yang mempunyai kecacatan fizikal dan menjadi sebab utama James terus bertahan. Ketika kecederaan, kesakitan dan ancaman pemangsa mula menghimpit, hubungan antara kedua-duanya menjadi tunjang kepada keseluruhan penceritaan.

Sejak awal lagi, filem ini menekankan konsep kelangsungan hidup. Pengalaman James sebagai bekas tentera sememangnya tidak perlu dipertikaikan. Kemahiran membaca keadaan, membuat keputusan pantas dan bertindak dalam situasi genting jelas membantu dirinya. Walakin begitu, kecederaan yang dialami selepas kemalangan menjadikan setiap langkah terasa lebih berat, seolah-olah pengalaman sahaja tidak cukup untuk menjamin keselamatan.

Bagi saya, kekuatan sebenar filem ini bukan terletak pada aksi semata-mata, tetapi pada hubungan antara James dan Odin. Kasih sayang yang dipamerkan terasa cukup tulus tanpa perlu dipaksa oleh dialog yang berlebihan. Ada ketika Odin menjadi penyelamat, ada ketika James pula menjadi pelindung. Hubungan saling bergantung itu membuatkan setiap babak mereka bersama terasa lebih bermakna.
Satu lagi perkara yang wajar dipuji ialah persembahan Odin sendiri. Latihan yang diberikan kepada anjing tersebut jelas membuahkan hasil kerana setiap gerak-geri, reaksi dan ekspresi berjaya menghidupkan wataknya secara meyakinkan. Sukar untuk tidak menghargai usaha yang dicurahkan bagi menjadikan hubungan manusia dan haiwan itu kelihatan begitu semula jadi.

Kendatipun begitu, saya mengharapkan cabaran yang lebih besar sepanjang perjalanan mereka. Ancaman pemangsa memang hadir, tetapi hanya beberapa babak benar-benar mencetuskan rasa cemas. Selebihnya, perjalanan James terasa agak ringkas sehingga potensi filem ini sebagai survival thriller tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Hatta, saya tetap memuji cara filem ini memperkenalkan latar belakang James Belmont. Walaupun dilakukan secara sederhana, ia cukup untuk membantu penonton memahami mengapa watak ini terus berjuang walaupun tubuhnya semakin lemah.

Babak klimaks pula menjadi detik paling berkesan. Saya tidak akan menceritakan apa yang berlaku, tetapi emosi yang dibina sejak awal akhirnya terbayar dengan sebuah penutup yang berpotensi membuatkan ramai mengalirkan air mata.
Heart of the Beast mungkin bukan filem survival paling mencabar pernah dihasilkan, namun ia berjaya meninggalkan kesan melalui kisah persahabatan, pengorbanan dan kesetiaan yang sukar dilupakan.
Skor: 6.8/10
