Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, kali ini saya ingin berkongsi kepada anda jam pintar daripada Apple, iaitu Apple Watch Siri 10. Apple Watch Siri 10 baru sahaja memasuki pasaran tempatan beberapa minggu lalu. Jam pintar ini hadir dengan dua variasi iaitu Aluminium serta Titanium.
Apple Watch cukup sinonim dengan jam pintar yang memfokuskan kepada kecergasan, kesihatan, gaya hidup serta fesyen. Setakat tahun 2023 sebanyak 267.6 juta unit Apple Watch telah terjual. Tahun ini sahaja, pasaran Apple Watch telah mendominasi sebanyak 19% di peringkat global menurut laporan yang dikeluarkan oleh Statista.
Sebelum selami lebih mendalam tentang Apple Watch Siri 10, jom kita buka kotak dan lihat apa yang ditawarkan kepada kita. Di dalamnya terdapat Apple Watch, tali jam mengikut saiz, di sini saya memilih saiz M/L, kabel pengecasan serta buku manual.
Apple Watch Siri 10 tampil dengan reka bentuk lebih nipis serta mempunyai skrin 75% lebih besar berbanding Apple Watch Siri 3, 30% lebih luas bagi Apple Watch Siri 4 dan 5 manakala 9% lebih besar bagi Siri 8 dan 9. Memandangkan sudah ramai pengguna iPhone mengetahui tentang Apple Watch. Kali ini saya ingin merumuskan fungsi-fungsi teras, supaya ramai memahami secara holistik mengapa mereka perlu memiliki jam pintar ini.
Di tangan saya ini merupakan Apple Watch Siri 10 46mm warna perak dan telah mengujinya selama beberapa hari. Berikut rumusan yang boleh saya kongsi kepada anda. Apple Watch Siri 10 hadir dengan pemproses S10 dengan 4 teras enjin Neural serta kapasiti storan 64GB. Selain itu turut menyokong tolok kedalaman 6 meter bagi peminat skuba serta sensor yang mengesan suhu di dalam air.
Apple Watch Siri 10 didukung penjejakan tidur yang memantau tahap pernafasan kita sewaktu tidur dan memaklumkan sekiranya mempunyai tanda-tanda Apnea Tidur. Apnea tidur adalah satu keadaan di mana seseorang mengalami gangguan pernafasan semasa tidur. Ini berlaku apabila otot-otot di belakang tekak menjadi lemah atau kendur, menyebabkan saluran pernafasan sempit atau tertutup. Akibatnya, aliran udara ke paru-paru terganggu.
Tanda-tanda dan gejala apnea tidur termasuk:
- Tersedak atau tercekik semasa tidur
- Selalu terjaga dari tidur
- Merasa letih sepanjang hari
- Mengantuk pada waktu siang
- Sakit kepala pagi
- Keadaan mood yang tidak stabil
- Mendengkur dengan kuat
Kendatipun begitu, fungsi ini memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia sebelum dapat digunakan. Berdasarkan semakan, setakat ini fungsi tersebut belum diluluskan. Fungsi penjejakan tidur bukan hanya ditawarkan untuk Apple Watch Siri 10, malah Apple Watch Ultra 2 dan Apple Watch Siri 9 juga turut tersedia.
Selain penjejejakan tidur, berita baik buat kaum wanita. Apple Watch hadir dengan ciri pemantauan suhu yang membantu dalam memantau tahap kesihatan serta kitaran haid. Apple Watch mampu untuk meramal masa ovulasi serta kitaran haid serta sesuai untuk wanita yang ingin merancang kehamilan.
ECG atau Elektrokardiogram dapat mengesan denyutan jantung yang tidak normal yang berpotensi menyebabkan serangan strok. Melalui ECG pada Apple Watch, kita dapat memantau denyutan jantung dan sekitarnya berlaku keadaan tidak normal, Apple Watch akan memberi amaran supaya kita merujuk kepada pegawai perubatan.
Laporan ECG boleh disemak di bahagian aplikasi kesihatan pada iPhone dan boleh dieksport dalam format PDF untuk dikongsi kepada pegawai perubatan. Walau bagaimanapun, Apple Watch tidak boleh digunakan untuk mengenal pasti serangan jantung. ECG sudah ditawarkan untuk pasaran tempatan dan anda boleh menggunakan fitur ini sekarang.
Selain itu, Apple Watch Siri 10 turut didukung fungsi pemantauan kandungan oksigen dalam darah ( SpO2) sert, kadar degupan jantung, mengukur paras bunyi dalam menjaga kesihatan pendengaran dan lain-lain. Apple Watch juga turut membantu kita dalam membasuh tangan dengan betul. Satu kajian menunjukkan seramai 95% daripada kita mencuci terlalu cepat, menggunakan air tapi tiada sabun atau tidak mencuci langsung.
Virus, bakteria, dan kuman lain boleh terjangkit apabila kita menyentuh permukaan, objek atau orang lain. Dengan mencuci tangan dapat membantu menghilangkan kuman tersebut dan membantu untuk kita terus sihat.
Selain kesihatan, Apple Watch Siri 10 boleh digayakan dengan pelbagai jenis tali jam untuk menyerlahkan fesyen kontemporari. Jika anda sebelum ini merupakan pengguna Apple Watch Siri 9 ke bawah, tali jam sebelum ini masih boleh dipadankan dengan Apple Watch Siri 10.
Apple Watch Siri 10 disertakan dengan watchOS 11 dan hadir dengan pelbagai fitur baharu termasuk muka jam baharu yang boleh ditetapkan mengikut mood. Dari aspek kecergasan, pelbagai penawaran untuk anda antaranya berenang, mendayung, sukan meranduk, berbasikal, berlari, minit pergerakan dan lain-lain.
Saya telah mencuba untuk pelbagai aktiviti, namun hari ini cukup sekadar berjoging bagi menunjukkan kepada anda bahawasanya Apple Watch salah satu pemangkin semangat untuk kita kekal cergas dan lebih sihat.
Apple Watch Siri 10 hadir dengan tiga warna bagi versi Aluminium iaitu Hitam Pekat, emas ros dan perak. Manakala versi Titanium ditawarkan dengan empat warna termasuk kemasan Titanium, Titanium Semula Jadi, emas dan Slate (batu loh).
Apple Watch Siri 10 Aluminium boleh dibeli pada harga bermula RM1,799 bagi saiz 42mm manakala RM1,949 bagi saiz 46mm. Apple Watch Siri 10 ini turut hadir dengan versi selular yang membolehkan eSIM diaktifkan. Nombor eSIM yang dipadankan dengan Apple Watch adalah sama dengan nombor pada iPhone.
Ini membolehkan kita keluar ke mana-mana tanpa perlu membawa iPhone lebih-lebih lagi sewaktu keluar berjoging atau bersenam. Setakat ini dua pengendali perkhidmatan menawarkan perkhidmatan eSIM bagi Apple Watch iaitu Maxis dan CelcomDigi. Langganan eSIM ini bergantung jenis telco yang anda langgan.
Harga bagi Apple Watch Siri 10 versi Selular dijual pada harga bermula RM2,299 bagi saiz 42mm dan RM2,449 bagi saiz 46mm. Kontradiksi dengan Apple Watch Siri 10 versi titanium, sokongan selular telah tersedia tanpa perlu beli secara berasingan dan harga jualan bermula RM3,299 bagi 42mm dan RM3,549 bagi 46mm.
Satu perkara yang ingin saya kongsi bersama, segelintir daripada kita terdedah kepada kerosakan Apple Watch sama ada pecah atau rosak disebabkan oleh air. Oleh itu pentingnya kita melindungi Apple Watch dengan pelan pelindungan termasuk yang ditawarkan oleh Switch Malaysia.
Dengan bayaran bermula RM129 setahun melalui Sure Protection, Apple Watch anda akan dilindungi dari sebarang masalah berkaitan isu fizikal atau kerosakan disebabkan oleh cecair. Ini bermakna kita tak perlu memakai selongsong atau takut untuk melakukan aktiviti air yang pastinya akan beri lebih kebebasan kepada kita saat menggunakan Apple Watch. Rujuk laman sesawang Switch Malaysia untuk dapatkan info lebih lanjut berhubung Pelan Sure.
Apple Watch saya anggap antara salah satu produk perlengkap kepada ekosistem Apple. Apple Watch bukan sekadar sebuah jam pintar, banyak ciri-ciri menarik tersedia untuk kita. Dengan sokongan watchOS 11, sudah pastinya pengalaman menggunakan Apple Watch lebih menarik termasuk sokongan Apple Pay.
Akhir kata daripada saya adalah yang ku lihat barang suatu pekerjaannya perkataanya dan kepandaianya dan bangun-bangun orangnya dan budi bahasanya, jikalau tiada salah fahamku bahawa dapat tiada ia ini orang-orang besar atau pandai, dan lagi dengan besar himmahnya.
Assalamualaikum dan jumpa lagi.