Lebih 7,000 peserta membanjiri sekitar ibu kota semalam sempena acara Keluang Man WONDA Fun Run, satu larian santai yang julung kali dianjurkan bersempena program Car Free Morning anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Acara yang dijadual bermula jam 5.00 pagi terpaksa dibuka lebih awal apabila peserta mula hadir seawal 4.00 pagi. Larian sejauh 5 kilometer itu bermula dari Menara DBKL dengan sesi memanaskan badan sebelum pelepasan rasmi dilakukan pada jam 7.00 pagi.

Menariknya, para peserta tampil penuh semangat dengan memakai topeng Keluang Man, adiwira ikonik tempatan. Sebahagian peserta bertuah turut menerima jersi eksklusif edisi terhad sebagai kenang-kenangan.

Pelepasan larian disempurnakan oleh watak Keluang Man sendiri bersama Maskot BeBe dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif.
Acara ini merupakan hasil kerjasama pertama antara Keluang Man, Wonda Kopi dan DBKL, serta turut dimeriahkan kehadiran barisan selebriti popular seperti Nas Muammar Zar, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Sham Sunder, dan Razzuan Rosli.

Turut hadir, penyanyi lagu tema Keluang Man, Krisya dan kumpulan S.O.G.Larian ini juga menjadi sebahagian daripada kempen promosi menjelang tayangan filem Keluang Man yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei ini.

Penerbit Eksekutif filem Keluang Man yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad menzahirkan penghargaan kepada peminat serta rakan kerjasama atas kejayaan penganjuran Keluang Man WONDA Fun Run yang berlangsung meriah di sekitar Menara DBKL semalam.“Kami amat berterima kasih atas sokongan teguh para peminat Keluang Man, peserta larian, serta rakan kerjasama Wonda Kopi dan DBKL yang telah merealisasikan acara ini. Ia bukan sekadar meraikan kemunculan filem Keluang Man di pawagam pada 29 Mei nanti, tetapi satu usaha untuk membawa dunia Keluang Man lebih dekat kepada masyarakat,” katanya.


Tambah beliau, karakter Keluang Man yang melambangkan keberanian, kekuatan dan ketangkasan diharap dapat menyuntik inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk kekal aktif dan cergas, selain mempercayai bahawa setiap individu mampu menjadi ‘wira’ dalam kehidupan seharian.

Acara larian turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti di booth seperti sesi bertemu dan bergambar bersama barisan pelakon filem Keluang Man dan maskot BeBe, persembahan bertenaga oleh penyanyi Krisya dan kumpulan S.O.G., serta cabutan bertuah.
Selain itu, pengunjung turut berpeluang mendapatkan barangan eksklusif merchandise Keluang Man, menyertai siaran luar radio ERA, menikmati sampel Wonda Kopi Kluang dan Wonda-ful Keluang Man Burger, serta menebus tawaran menarik daripada rakan jenama seperti Iconic Animation Studio, Fung Keong dan Abstrax.

Filem terbitan Astro Shaw bersama GSC, Idea River Run, Pasal Productions dan rakan strategik Wonda Kopi ini diarahkan oleh Anwari Ashraf dan menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Dato’ Remy Ishak, Halim Othman, Amelia Henderson, dan ramai lagi.
Pihak kami yang merakamkan secara detik di sana begitu teruja melihat semua peserta bergembira dari awal hingga akhir acara. Syabas saya ucapkan kepada Astro Shaw.