Apple kini mula melancarkan iOS 26.5.1 kepada semua pengguna iPhone 17 dan iPhone Air. Jika anda mengharapkan ciri baharu atau perubahan besar, kemas kini ini mungkin tidak akan mengujakan anda. Namun begitu, ia tetap merupakan kemas kini yang disyorkan untuk dipasang secepat mungkin.
iOS 26.5.1 menyelesaikan isu yang dialami oleh sebilangan kecil pengguna, di mana pengecasan berwayar pada model iPhone Air dan iPhone 17 mungkin tidak berfungsi apabila tahap bateri berada pada paras yang sangat rendah atau hampir habis.
Seperti kebiasaan kemas kini versi “.1” daripada Apple, fokus utama iOS 26.5.1 adalah kepada penambahbaikan kestabilan sistem, pembetulan pepijat serta tampalan keselamatan yang mungkin ditemui selepas pelancaran iOS 26.5 sebelum ini.

Walaupun tidak membawa fungsi baharu yang ketara, kemas kini seperti ini sebenarnya lebih penting berbanding apa yang ramai sangkakan. Ia membantu memastikan prestasi peranti kekal optimum, mengurangkan risiko isu keselamatan serta memperbaiki masalah yang mungkin tidak disedari oleh pengguna dalam penggunaan harian.
Dengan WWDC26 yang bakal berlangsung dalam beberapa hari sahaja lagi, iOS 26.5.1 juga boleh dianggap sebagai kemas kini “persediaan akhir” sebelum Apple memperkenalkan generasi sistem operasi seterusnya, yang dijangka dikenali sebagai iOS 27.
Jika anda masih belum menerima notifikasi kemas kini, anda boleh menyemaknya secara manual melalui Tetapan > Umum > Kemas Kini Perisian.
Bagi saya, setiap kemas kini keselamatan daripada Apple bukanlah sesuatu yang wajar ditangguhkan. Walaupun saiznya kecil dan tidak membawa ciri baharu yang boleh dipamerkan di media sosial, ia tetap memainkan peranan besar dalam memastikan iPhone anda kekal selamat dan berfungsi dengan baik.
Kendatipun begitu, pastikan iPhone anda asli luar dan dalam serta bebas dari sebarang isu yang boleh memudaratkan iPhone.

