in

Legasi: Bomba The Movie “Wira Yang Tak Didendang”

Legasi: Bomba The Movie tampil sebagai sebuah karya yang mengangkat pasukan Wira Merah, barisan anggota bomba yang selama ini jarang diberi sorotan, meskipun mereka antara wira sebenar yang sanggup berkorban demi keselamatan orang lain.

Kisahnya berpusat pada Pasukan Alpha Jabatan Bomba Putrajaya yang diketuai oleh Eddy (Nas-T) bersama Amir (Ben Amir) dan rakan-rakan mereka.

Kehadiran Jordan (Henley Hii), seorang anggota baharu yang cekap dan terlalu mengikut SOP, menimbulkan rasa kurang senang pada Amir.

Dalam masa yang sama, Eddy bakal dinaikkan pangkat, manakala Amir pula dijangka menggantikan tempatnya, sekali gus menambah lagi ketegangan dalam pasukan.

Apa yang menarik, filem ini berjaya memaparkan bagaimana Wira Merah sentiasa bersiap sedia menghadapi cabaran.

Jika sebelum ini kita biasa mendengar istilah khas dalam filem kepolisan atau ketenteraan, kali ini kita berpeluang mengenali bahasa dan istilah operasi yang digunakan oleh anggota bomba, sesuatu yang jarang dipaparkan di layar perak.

Klimaks penceritaan terarah kepada kebakaran bangunan pencakar langit. Di situ kita boleh melihat kepandaian pasukan Bomba menyelesaikan masalah walaupun berdepan dengan cabaran.

Lagi artikel di ifon.my  Dendam Malam Kelam : Misteri dan Memukau

Satu keadaan yang unik telah dizahirkan dalam filem ini yang menarik minat kita untuk mengetahui cara untuk meminimumkan kebakaran.

Saya tidak akan menceritakan secara terperinci akan filem ini. Namun, setiap yang hidup pasti akan mati. Kematian tersebut bakal menjadi saksi bahawa setiap perjuangan akan ada pengorbanan.

Namun begitu, tidak dinafikan ada kelemahan yang mencacatkan sedikit pengalaman menonton. Penggunaan imej janaan komputer (CGI) terasa agak berlebihan, terutamanya pada babak awal ketika pasukan bomba menyelamatkan pendaki gunung.

Kesan api juga kelihatan terlalu “digital”, walaupun dapat difahami ia dilakukan demi mengelakkan sebarang risiko terhadap pelakon.

Selain itu, ada satu babak berkaitan pengganas yang muncul dan hilang begitu sahaja tanpa penjelasan lanjut, membuatkan ia kelihatan tidak begitu relevan dengan jalan cerita utama.

Walau bagaimanapun, jika kita mengetepikan kelemahan CGI, Legasi: Bomba The Movie masih sebuah filem yang menghiburkan dan penuh makna. Ia menonjolkan semangat setiakawan, keberanian, serta kecekalan anggota bomba, sekali gus membuka mata penonton bahawa mereka adalah wira yang seharusnya dihargai.

Lagi artikel di ifon.my  Martabat Misi Berdarah Komedi Spontan yang Menjadi

Bagi saya, filem ini hadir sebagai satu nafas segar. Jika filem kepolisan dan ketenteraan sudah dianggap klise, maka kisah bomba seperti ini wajar diberi lebih banyak ruang di pawagam.

Tambahan pula menjelang Hari Kebangsaan, menonton Legasi: Bomba The Movie adalah cara terbaik untuk menghargai jasa pasukan bomba satu pasukan yang sanggup mengorbankan nyawa demi keselamatan orang lain.

Intihanya, walaupun tidak sempurna, Legasi: Bomba The Movie tetap sebuah naskhah yang patut ditonton. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu penghargaan buat Wira Merah yang selama ini menjadi barisan hadapan dalam menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia.

Penceritaan juga memaparkan masalah berpasukan yang sudah menjadi lumrah dalam satu-satu pasukan. Tonton dan hayati makna tersirat serta tersirat, walaupun filem ini tak sempurna, penceritaan cukup jelas terutama semangat Wira Merah.

Skor: 7/10 (70%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Menang Cabutan Bertuah Proton e.MAS & Hadiah Bernilai RM500,000 Dari Switch dan Urban Republic