in , ,

Marsya & Liza Hanim Dinobat Juara Talk To My Manager, Syarifah Shahirah Raih Gelaran Gempak Most Valuable Manager

SHAH ALAM, 12 Oktober — Program realiti hiburan popular, Talk To My Manager (TTMM) akhirnya melabuhkan tirai musim ini dengan penganjuran Kemuncak Akhir yang berlangsung penuh meriah di Auditorium MBSA malam ini.

Enam pasangan peserta terbaik tampil memberi persembahan hebat dalam usaha merebut gelaran juara sulung TTMM, sekali gus menamatkan perjalanan panjang penuh cabaran yang telah memukau penonton setiap minggu.

Acara berprestij itu membuka tirai dengan sorakan penonton yang membanjiri dewan, menyaksikan setiap pasangan tampil dengan dua tugasan utama di bawah bimbingan “Cable Artis” masing-masing.

Malam kemuncak ini nyata menjadi bukti kehebatan TTMM sebagai platform yang bukan sahaja menguji kemampuan vokal dan persembahan peserta, malah turut menonjolkan kreativiti serta strategi pengurus dalam membina imej dan gaya seni setiap bakat baharu.

Antara pasangan yang mara ke peringkat akhir ialah Auddra dan Sharifah Shahirah yang tampil dengan dua persembahan bertenaga melalui lagu Jump nyanyian asal BLACKPINK dan Asmara oleh Anneke Gronloh, dengan bimbingan pelakon dan pengacara terkenal, Sherry Al Hadad.

Turut mencuri tumpuan ialah gandingan Ammar dan Ameng yang mempersembahkan Bangun (Aman Ra) dan Paling Comel (Siti Nordiana & Achik Spin) di bawah tunjuk ajar penyanyi Siti Nordiana sendiri.

Sementara itu, pasangan Hadie dan Ina Naim memilih dua karya berbeza genre iaitu Lelaki Seperti Aku (Alif Satar) dan Impian Kasih (Inteam), menonjolkan keunikan vokal serta nilai spiritual dalam persembahan mereka dengan bimbingan kumpulan nasyid tersohor, Inteam.

Lagi artikel di ifon.my  Juadah 'Rahmah' : Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton

Marsya dan Liza Hanim pula tampil dengan persembahan penuh emosi menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul) dan Lay Me Down (Sam Smith) di bawah panduan penyanyi muda berbakat besar, Aisha Retno.

Turut mencuri perhatian ialah pasangan Thalita dan Shuib yang mempertaruhkan dua lagu penuh jiwa, Semakin (Siti Sarah) dan Tak Ada Logika (Agnes Monica) dengan bimbingan Mimifly. Persembahan mereka bukan sahaja mengundang emosi, malah mencipta detik istimewa.

Menutup senarai finalis ialah pasangan Amad dan Siti Sairah yang tampil dengan persembahan Cinta Kerana Cinta (Judika) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera) bersama Cable Artis, Nadeera.

Pujian harus diberikan kepada Amad yang tetap menunjukkan semangat luar biasa apabila meneruskan persembahan walaupun kurang sihat. Keberanian dan komitmennya untuk berdiri di pentas, berduet bersama Nadeera dalam keadaan tidak berada pada tahap terbaik, nyata menyentuh hati ramai.

Walau bagaimanapun, juri tidak dibenarkan untuk memberikan komen terhadap hasil nyanyian mereka atas faktor tertentu sesuatu yang bagi sesetengah pihak dirasakan tidak perlu diadili, memandangkan usaha dan keberanian Amad sudah cukup membuktikan dedikasinya sebagai seorang peserta.

Selepas malam penuh debaran, keputusan rasmi Talk To My Manager diumumkan dengan pasangan Marsya dan Liza Hanim dinobatkan sebagai Juara TTMM, membawa pulang wang tunai RM30,000, trofi, dan peluang merakam single terbaharu bersama Rocketfuel Entertainment.

Lagi artikel di ifon.my  Raise The Star Malaysia: Empat Peserta Tersingkir Di Minggu Kedua

Tempat kedua menjadi milik Thalita dan Shuib yang menerima RM15,000 dan trofi, manakala tempat ketiga disandang oleh Auddra dan Sharifah Shahirah dengan RM10,000 dan trofi.

Tempat keempat pula menjadi milik Ammar dan Ameng yang membawa pulang RM5,000 dan trofi, diikuti Hadie dan Ina Naim di tempat kelima yang turut menerima RM5,000 dan trofi. Sementara itu, Amad dan Siti Sairah berada di tempat keenam, membawa pulang RM3,000 dan trofi sebagai penghargaan atas semangat juang mereka hingga ke peringkat akhir.

Selain kemenangan utama, malam kemuncak turut menyaksikan pengiktirafan khas apabila Sharifah Shahirah diumumkan sebagai penerima Gempak Most Valuable Manager (MVM) atas kebijaksanaan dan strategi pengurusannya sepanjang pertandingan. Beliau memilih untuk menerima baucar membeli-belah bernilai RM2,000 sebagai ganjaran atas kejayaan tersebut.

Kemuncak Akhir TTMM tahun ini dianggap antara edisi paling sengit, dengan setiap pasangan mempamerkan peningkatan luar biasa sejak episod pertama. Aura, semangat dan komitmen mereka membuktikan bahawa TTMM bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi platform sebenar mencungkil bakat baharu serta menonjolkan peranan pengurus dalam dunia hiburan moden.

Dengan tirai musim ini dilabuhkan, Talk To My Manager sekali lagi membuktikan bahawa keikhlasan, semangat dan strategi mampu mengangkat seseorang bukan sahaja sebagai artis tetapi sebagai bintang yang memahami nilai perjuangan sebenar dalam dunia hiburan. Malam ini, segalanya telah terjawab, dan sejarah baharu telah tercipta di pentas TTMM.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Tron:Ares Menakjubkan!

Dari Litar ke Layar: Hafizh & Daddy Hood Bawa Nafas Baharu Dalam Dunia ABKL