Suria KLCC Sdn Bhd kembali dengan acara tahunan yang dinanti-nantikan Picnic in the Park Festival, yang berlangsung dari 3 hingga 6 Julai bertempat di Esplanade Suria KLCC.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, festival ini menjanjikan pengalaman berkelah yang bukan sahaja indah tetapi juga penuh gaya dan citarasa.

Para pengunjung berpeluang menikmati pelbagai sajian menarik dari reruai makanan dan minuman terkemuka seperti Eight Ounce Coffee Co, Satana Japanese Dining, TGI Friday, Imperial Chakri Palace dan banyak lagi.

Menariknya, anda bukan sahaja boleh menjamu selera, malah turut serta dalam pelbagai aktiviti interaktif seperti sesi solekan eksklusif oleh staf M.A.C, bergambar kenangan, serta customise tote bag istimewa.

Untuk melayakkan diri menyertai festival ini, anda hanya perlu berbelanja minimum RM3,000 dalam dua resit di mana-mana kedai dalam Suria KLCC. Dengan itu, anda akan diberikan akses untuk masuk bersama tiga orang lagi (maksimum empat orang), lengkap dengan gelang khas yang membolehkan anda bebas keluar masuk termasuk untuk solat.



Hari ini, kami berkesempatan menyertai sendiri pengalaman berkelah di tengah-tengah kota ini. Kami memilih untuk berehat di khemah kecil berhadapan pancuran air panjut, sambil dihiburkan dengan persembahan muzik dan nyanyian secara langsung.

Walaupun hujan renyai menyapa, ia tidak sedikit pun menjejaskan suasana mesra dan eksklusif yang ditawarkan.

Festival ini dibuka seawal jam 4.00 petang dan berakhir pada 9.00 malam setiap hari. Bagi anda yang ingin lari seketika dari kesibukan kota dan mencari pengalaman santai yang luar biasa inilah peluangnya.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada Picnic in the Park Festival di Suria KLCC. Berbelanjalah dan rasai sendiri kemewahan berkelah yang pasti meninggalkan kenangan manis.