Kuala Lumpur, 11 Disember 2025 – Kejohanan Gatorade Malaysia Closed 2025 yang merupakan kejohanan pickleball rasmi pertama di Malaysia telah melabuhkan tirai hujung minggu lalu dengan aksi yang penuh mendebarkan, persaingan sengit serta detik bersejarah yang menyatukan pemain terbaik negara di gelanggang yang sama. Para peserta bukan sahaja merebut gelaran juara, tetapi juga mata pemeringkatan kebangsaan yang menandakan satu langkah besar dalam usaha menjadikan pickleball sebagai sukan kompetitif yang diiktiraf di Malaysia.

Edisi sulung ini menampilkan gabungan bakat baharu, atlet remaja dan pemain berpengalaman yang mempamerkan permainan pantas, tersusun dan penuh strategi. Perkembangan pesat komuniti pickleball tanah air jelas tergambar melalui kualiti saingan yang dipersembahkan sepanjang pertandingan.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Pickleball Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pickleball Kuala Lumpur dan semua perlawanan dijalankan mengikut piawaian kebangsaan. Para pemenang bukan sahaja membawa pulang gelaran kejohanan tetapi turut mengumpul mata ranking untuk menaikkan kedudukan mereka dalam carta rasmi pickleball negara.
Acara ini turut menarik penyertaan daripada pelbagai latar belakang, termasuk pemain muda yang sedang meningkat naik serta bekas atlet kebangsaan. Kehadiran mereka menyerlahkan daya tarikan pickleball sebagai sukan rekreasi dan platform pertandingan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia. Kejohanan ini juga menandakan perkembangan ke arah pembentukan ekosistem pickleball yang lebih tersusun dengan laluan kejurulatihan, peraturan rasmi dan struktur pertandingan yang kukuh.

“Kami sangat berbesar hati menerima sokongan Gatorade untuk edisi pertama Malaysia Closed 2025,” kata Delima Ibrahim, Pengerusi Pertandingan Persatuan Pickleball Malaysia. “Sumbangan mereka membantu pertumbuhan sukan ini di semua peringkat, daripada pemain muda yang baru berjinak-jinak hinggalah atlet berpengalaman yang sentiasa memperbaiki kemahiran mereka. Sokongan rakan korporat seperti Gatorade sangat penting bagi membina komuniti pickleball yang inklusif dan mampan.”
Kejohanan ini merangkumi pelbagai kategori bagi semua peringkat umur termasuk Bawah 12, Bawah 15 serta kategori dewasa. Pemain ternama seperti Keevan Raj, bekas pemain hoki kebangsaan, dan Izran Farroukh, bekas pemain tenis SUKMA, turut beraksi dan menyajikan perlawanan pantas yang membuktikan populariti pickleball semakin melonjak.
Kategori dewasa turut menyaksikan kisah inspirasi seperti juara Perseorangan Lelaki 35+, Mohd Faizal Bin Othman, yang menzahirkan penghargaan buat keluarganya. “Saya amat bersyukur atas sokongan Gatorade serta peluang yang diberikan kepada atlet dan komuniti pickleball. Acara seperti ini memberi motivasi kepada pemain muda untuk terus meningkatkan prestasi,” katanya.

Pemain tempat ketiga Perseorangan Wanita Terbuka, Lim Xin Yu, turut berkongsi keterujaannya. “Saya sangat gembira dapat meraih tempat ketiga. Terima kasih kepada Gatorade kerana menganjurkan kejohanan ini. Saya berharap lebih banyak acara seperti ini dianjurkan dan satu hari nanti pickleball dapat dipertandingkan dalam SUKMA, Sukan SEA dan Olimpik.”
Sebagai jenama global yang dipercayai atlet elit, Gatorade turut memberi tumpuan besar kepada pembangunan bakat muda. Pemain remaja menyerlah sepanjang kejohanan dengan semangat tinggi dan mutu permainan yang membanggakan. Juara Beregu Lelaki Bawah 18, Dzarif Dzakwan, berkata “Saya berasa sangat teruja dapat menyertai kejohanan ini. Ia memberi saya dorongan untuk terus memperbaiki diri di dalam dan di luar gelanggang.”
Pickleball kini menjadi antara sukan paling pesat berkembang di Malaysia. Dalam tempoh setahun, jumlah pemain aktif melonjak kepada lebih 143,000 orang dengan lebih 400 gelanggang beroperasi di seluruh negara. Populariti sukan ini dipacu oleh sifatnya yang mudah diakses, permainan yang pantas tetapi rendah impak serta sesuai untuk semua peringkat umur. Malaysia kini muncul sebagai negara teratas pickleball di Asia dan antara tiga negara yang paling cepat berkembang di dunia.
Dengan pertambahan lokasi permainan, acara komuniti dan siri kejohanan kebangsaan yang semakin kukuh, Malaysia sedang membina asas bagi ekosistem pickleball yang mampan, inklusif dan berdaya saing. Sukan ini bukan sahaja melahirkan bakat-bakat baharu, tetapi juga memperkukuh rasa bangga dan penyertaan dalam aktiviti sukan negara.

