Passenger merupakan sebuah filem seram yang sarat dengan babak kejutan (jump scare) dan ketegangan yang mampu membuatkan penonton sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga. Filem ini mengisahkan sepasang kekasih yang ingin menikmati kehidupan bersama selepas membeli sebuah karavan baharu untuk memulakan pengembaraan mereka.

Pada awalnya, ekspedisi tersebut kelihatan sempurna. Mereka menikmati perjalanan yang dipenuhi kasih sayang dan harapan untuk mencipta kenangan indah bersama. Namun, segalanya berubah apabila mereka bertindak menyelamatkan seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan. Sejak detik itu, kehidupan mereka mula diganggu oleh satu entiti misteri yang membawa pelbagai kejadian aneh dan mengancam nyawa mereka.

Apakah sebenarnya entiti tersebut? Mampukah mereka melepaskan diri daripada gangguan yang semakin mengganas? Jawapannya hanya boleh diketahui dengan menonton filem ini sendiri.
Secara peribadi, saya amat menikmati Passenger. Walaupun penceritaannya ringkas dan tidak terlalu kompleks, ia tetap berjaya mengekalkan momentum serta memberikan pengalaman seram yang menghiburkan. Jika anda peminat babak kejutan yang muncul tanpa diduga, Passenger merupakan antara filem yang wajar diberikan perhatian.

Apa yang menarik, filem ini mengelakkan klise biasa yang sering ditemukan dalam filem seram melibatkan pasangan bercinta. Lazimnya akan ada satu watak yang membuat keputusan kurang bijak sehingga mengundang masalah lebih besar. Namun dalam Passenger, kedua-dua watak utama digambarkan bijak, rasional dan saling memahami antara satu sama lain, sekali gus menjadikan perkembangan cerita lebih meyakinkan.

Filem ini turut diselitkan dengan elemen spiritual dan keagamaan yang menambahkan lagi suasana misteri. Jika di Malaysia kita sering mendengar kisah seram yang dikaitkan dengan Lebuhraya Karak, Passenger mempunyai kisah “berpuaka” tersendiri. Bezanya, filem ini menyajikan elemen seram yang lebih ganas, ngeri dan tidak gentar untuk memaparkan ancaman yang dihadapi watak-wataknya.
Secara keseluruhan, saya tidak keberatan menobatkan Passenger sebagai salah satu filem seram yang wajar ditonton oleh peminat genre ini. Ia mungkin tidak mencipta sesuatu yang baharu, tetapi berjaya memberikan hiburan yang cukup memuaskan buat mereka yang gemarkan ketegangan dan kejutan demi kejutan.
Skor: 7.5/10 (75%)

