in ,

Perumahan Laddaland: Sebuah Rumah, Sebuah Keluarga, Sebuah Ketakutan

Perumahan Laddaland bukanlah sebuah filem seram yang hadir semata-mata untuk menakutkan penonton dengan kejutan atau kemunculan entiti menyeramkan.

Sebaliknya, filem ini cuba membawa ketakutan yang lebih dekat dengan kehidupan manusia ketakutan yang lahir daripada rumah sendiri, keadaan keluarga dan persekitaran yang semakin kacau-bilau.

Antara perkara yang menarik perhatian ialah cara filem ini membina momen suspens menerusi beberapa lokasi dan situasi tertentu.

Pertengkaran antara Melisa dan Elvin serta konflik Tomy dan Tania memberikan ruang kepada filem untuk membina ketegangan sebelum sesuatu berlaku.

Walaupun tidak semua babak memberikan impak yang sama, beberapa pembinaan babak berjaya mencetuskan rasa tidak selesa dan membuatkan penonton tertanya-tanya tentang apa yang bakal berlaku.

Elemen drama kekeluargaan antara Tomy dan Melisa turut menjadi salah satu kekuatan filem ini. Konflik yang berlaku dalam keluarga mereka menjadikan sesetengah babak terasa lebih hidup kerana ketakutan yang dipaparkan bukan hanya berkaitan gangguan seram, tetapi turut berkait dengan hubungan sesama ahli keluarga.

Lagi artikel di ifon.my  402 Rumah Sakit Angker Korea: Remake Yang Masih Dibayangi Kehebatan Gonjiam

Menariknya, aspek seram dalam Perumahan Laddaland lebih banyak bergantung kepada psychological tension berbanding penggunaan jumpscare semata-mata.

Filem ini cuba membina rasa tidak selesa melalui keadaan, suasana dan tekanan yang dialami oleh watak-wataknya. Pendekatan sebegini memberikan sedikit kelainan kerana penonton bukan sekadar menunggu sesuatu muncul di skrin, tetapi turut merasakan tekanan yang dialami oleh keluarga tersebut.

Kendatipun begitu, rentak penceritaan filem ini terasa agak perlahan dalam sesetengah babak. Ada beberapa bahagian yang mengambil masa agak panjang untuk bergerak ke titik seterusnya sehingga ketegangan yang telah dibina sebelumnya sedikit terjejas.

Dalam masa yang sama, elemen kekeluargaan kadangkala terasa lebih dominan berbanding aspek seram. Bagi penonton yang mengharapkan sebuah filem horror yang lebih agresif dan konsisten menakutkan, pendekatan ini mungkin menyebabkan Perumahan Laddaland terasa kurang menyeramkan daripada jangkaan.

Lagi artikel di ifon.my  THE FURIOUS : Aksi Tanpa Henti, Adrenalin Memuncak Antara Filem Aksi Antarabangsa Terbaik Tahun Ini

Beberapa babak juga agak mudah dijangka dan masih menggunakan kaedah seram yang lazim dalam genre ini. Justeru, terdapat momen tertentu yang tidak memberikan kejutan besar kerana penonton sudah dapat mengagak arah perkembangan ceritanya.

Secara keseluruhannya, Perumahan Laddaland lebih menarik apabila dilihat sebagai sebuah filem tentang ketakutan yang berkembang dalam sebuah keluarga, bukannya sekadar filem horror yang mahu menakutkan penonton.

Ia cuba menunjukkan bahawa rumah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat boleh bertukar menjadi sumber ketakutan apabila hubungan keluarga, keadaan sekeliling dan tekanan emosi mula tidak terkawal.

Skor 5.5/10

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

IRUMBUTH THOTTAM: Siasatan Jenayah yang Penuh Misteri