in , ,

Papa Zola The Movie Kembali Gegarkan Pawagam Sempena Hari Bapa 2026 Dengan Kandungan Baharu

KUALA LUMPUR, 4 Jun 2026 – Selepas mencipta sejarah sebagai antara filem animasi tempatan paling berjaya dengan kutipan melebihi RM69 juta, Papa Zola The Movie bakal kembali menemui penonton di layar perak sempena sambutan Hari Bapa 2026.

MONSTA mengumumkan tayangan khas filem animasi No.1 Malaysia itu akan berlangsung bermula 11 Jun hingga 30 Jun 2026 di hampir 50 pawagam terpilih di seluruh negara, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menghidupkan semula pengalaman menonton yang pernah mencetuskan fenomena sebelum ini.

Apa yang menjadikan tayangan semula kali ini lebih menarik ialah kehadiran versi khas dengan kandungan tambahan eksklusif yang tidak ditayangkan sebelum ini. Antara yang paling dinantikan ialah penjelasan mengenai watak Otoi, termasuk persoalan yang hangat diperkatakan dalam kalangan peminat mengenai bagaimana beliau berjaya keluar daripada dunia simulasi dalam salah satu babak penting filem asal.

Lagi artikel di ifon.my  Papa Zola Buktikan Watak Sampingan Juga Mampu Menjadi Juara

Selain itu, penonton juga bakal disajikan dengan babak tambahan melibatkan BoBoiBoy dan Gopal, sekali gus memberikan nilai tambah kepada peminat setia siri animasi tempatan tersebut.

Menurut Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, filem ini terus mendapat tempat di hati penonton kerana mesej kekeluargaan yang dibawakan.

Papa Zola The Movie sentiasa dekat dengan penonton kerana ia bukan sekadar kisah pengembaraan dan gelak tawa, tetapi sebuah kisah tentang ikatan kekeluargaan, kasih seorang ayah dan nilai-nilai yang menyatukan pelbagai generasi.

Bersempena Hari Bapa, kami ingin memberi peluang kepada penonton untuk kembali menikmati filem ini di pawagam bersama insan tersayang. Kali ini, tayangan khas ini turut hadir dengan kandungan tambahan dan kejutan istimewa buat para peminat,” katanya.

Bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Bapa, peminat yang hadir ke pawagam turut berpeluang mendapatkan kad eksklusif Papa Zola The Movie sebagai koleksi khas edisi terhad.

Lagi artikel di ifon.my  Lilo & Stitch Mengekalkan Keaslian "Ohana"

Dengan gabungan elemen komedi, pengembaraan dan mesej kekeluargaan yang kuat, tayangan semula Papa Zola The Movie dilihat sebagai pilihan ideal untuk keluarga yang ingin meraikan Hari Bapa melalui pengalaman hiburan yang penuh emosi dan nostalgia.

Bagi yang terlepas menyaksikan fenomena ini ketika tayangan asal, inilah peluang terbaik untuk melihat sendiri mengapa Papa Zola The Movie berjaya menjadi antara filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah industri perfileman Malaysia.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Huawei nova 15 Max Dilancarkan: Bateri 8,500mAh Terbesar Dalam Sejarah Huawei

Kisah Bawah Tanah Semakin Mengganas, Astro Buktikan Animasi Tempatan Bukan Lagi Sekadar Hiburan Kanak-Kanak