KUALA LUMPUR, 24 Julai — Tayangan Khas Kokuho yang berlangsung di GSC Mid Valley Megamall berjaya menghimpunkan para pencinta filem Jepun dalam satu malam yang penuh dengan apresiasi terhadap karya sinematik bertaraf dunia.

Filem ini dibawakan secara eksklusif ke Malaysia oleh Primeworks, sekali gus memberi peluang kepada penonton tempatan menikmati antara naskhah paling diperkatakan sepanjang tahun 2025.
XN Media Network turut diberikan 10 keping tiket oleh pihak penganjur untuk menjemput beberapa KOL serta pemenang peraduan menghadiri tayangan khas ini. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan rata-rata penonton memberikan maklum balas positif sebaik sahaja filem berakhir.
Malah, ramai mengakui bahawa Kokuho menawarkan pengalaman sinematik yang berbeza daripada kebanyakan filem arus perdana.

Diarahkan oleh Sang-il Lee dengan lakon layar hasil tulisan Satoko Okudera, Kokuho diadaptasi daripada novel terlaris karya Shuichi Yoshida yang diterbitkan pada tahun 2018. Filem ini dibintangi oleh Ryo Yoshizawa, Ryusei Yokohama, Mitsuki Takahata, Shinobu Terajima, Min Tanaka dan Ken Watanabe, yang masing-masing menampilkan persembahan lakonan penuh emosi dan berkesan.
Kokuho mengisahkan perjalanan Kikuo, anak kepada seorang ketua kumpulan yakuza yang kehilangan bapanya dalam satu tragedi.

Beliau kemudiannya diambil sebagai anak angkat oleh seorang maestro kabuki terkenal sebelum menjalani latihan yang amat mencabar untuk menguasai seni teater tradisional Jepun. Perjalanan hidupnya dipenuhi dengan pengorbanan, persaingan, persahabatan dan konflik identiti dalam usaha mengejar kemuncak dunia seni kabuki.

Dengan bajet sekitar AS$8 juta, Kokuho berjaya mencatat kutipan pecah panggung melebihi AS$134 juta, sekali gus membuktikan bahawa filem berteraskan seni dan budaya juga mampu meraih kejayaan komersial yang luar biasa.
Lebih membanggakan, filem ini menerima penarafan 95% di Rotten Tomatoes, mencerminkan penerimaan yang sangat positif daripada pengkritik dan penonton. Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara karya sinema Jepun terbaik yang ditayangkan pada tahun ini.
Kami mengakui bahawa terdapat segelintir penonton yang mungkin menganggap Kokuho sebuah filem yang agak berat kerana pendekatan penceritaannya yang perlahan dan sarat dengan nilai seni.

Namun, itulah kekuatan utamanya. Ia bukan sekadar sebuah filem, tetapi satu pengalaman sinematik yang mengangkat budaya, emosi dan dedikasi terhadap seni persembahan. Berdasarkan maklum balas yang diterima selepas tayangan khas, rata-rata penonton menyukai filem ini dan menyifatkannya sebagai sebuah karya yang mempunyai standard tersendiri.
Bagi kami, Kokuho ialah antara filem yang wajar diberikan peluang di pawagam. Ia mungkin bukan sebuah naskhah yang memenuhi cita rasa semua penonton, namun sesiapa yang menghargai penceritaan berkualiti, sinematografi yang memukau dan lakonan berkelas pasti akan meninggalkan pawagam dengan satu pengalaman yang sukar dilupakan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Kokuho di pawagam berhampiran anda.
