in

Verity: Filem Yang Mempunyai Dua Penutup Berlainan, Siapa Yang Benar?

Verity cukup sinonim dengan kehidupan saya. Sebagai seorang penulis, saya sendiri pernah berdepan dengan situasi apabila idea tidak datang seperti yang diharapkan.

Ada ketika kita terlalu lama memikirkan apa yang mahu ditulis, bagaimana cerita itu harus bermula dan ke mana ia akan dibawa. Sebab itu, apabila Verity membawa penonton masuk ke dunia seorang penulis, saya merasakan ada sesuatu yang begitu dekat dengan kehidupan saya.

Filem ini mengisahkan Lowen Ashleigh, seorang penulis yang sedang berdepan kesukaran dalam kerjaya penulisannya sebelum menerima tawaran untuk menyambung siri novel terkenal karya Verity Crawford.

Verity pula tidak lagi mampu meneruskan penulisannya selepas mengalami kemalangan yang menyebabkan dia terlantar. Lowen kemudiannya datang ke rumah keluarga Crawford untuk meneliti bahan penulisan Verity, namun apa yang ditemuinya jauh lebih mengejutkan daripada sekadar manuskrip yang belum disiapkan. Dia menemukan sebuah manuskrip yang mengandungi pengakuan gelap berkaitan kehidupan keluarga tersebut.

Sejujurnya, pada awal penceritaan saya mula rasa seronok. Bukan kerana pelakon yang membintangi filem ini, tetapi kerana kisahnya berkisar tentang seorang penulis.

Bagi saya, premis seperti ini memang mudah menarik perhatian kerana ia membawa kita kepada dunia yang tidak asing bagi mereka yang hidup dengan penulisan. Dari situ, saya mula menghayati setiap perkembangan cerita dan tidak hairanlah saya begitu mudah terbawa-bawa dengan jalan cerita yang dipersembahkan.

Lagi artikel di ifon.my  Ulasan Filem : Kraven the Hunter

Tidak dinafikan, lakonan Anne Hathaway dan Dakota Johnson begitu hebat. Dakota Johnson berjaya membawa watak Lowen dengan emosi yang cukup meyakinkan, terutama apabila wataknya mula berdepan dengan perkara-perkara yang semakin sukar untuk dijelaskan.

Namun, bagi saya, Anne Hathaway memberikan sesuatu yang lebih mencuri perhatian sebagai Verity. Cara Hathaway membawa watak tersebut membuatkan saya sentiasa tertanya-tanya sama ada Verity sebenarnya mangsa keadaan atau ada sesuatu yang cuba disembunyikannya.

Saya suka bagaimana pengarah mengadaptasikan penceritaan daripada novel, terutama dalam membina persoalan mengenai keadaan Verity.

Babak ketika Verity lumpuh menjadi antara bahagian yang paling menarik perhatian saya kerana pada ketika itu muncul satu persoalan yang cukup kuat.

Adakah Verity benar-benar lumpuh, atau semuanya hanyalah lakonan untuk menyembunyikan sesuatu? Persoalan itu menjadi antara perkara yang membuatkan saya terus mahu mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Namun begitu, satu perkara yang saya fikir akan terus bermain dalam fikiran saya dan mungkin juga penonton lain ialah babak pengakhiran.

Bagi saya, penghujung Verity memberikan dua petunjuk yang berbeza. Satu petunjuk seolah-olah menyebelahi Verity, manakala satu lagi memberikan gambaran yang lebih berpihak kepada Jeremy Crawford. Di sinilah filem ini menjadi menarik kerana penonton sendiri perlu membuat keputusan tentang siapa yang mahu dipercayai.

Jika anda tanya saya, saya menyebelahi Verity. Saya tidak boleh menyatakan mengapa kerana saya tidak mahu merosakkan pengalaman mereka yang masih belum menonton filem ini. Apa yang boleh saya katakan ialah saya mempunyai sebab tersendiri untuk membuat kesimpulan tersebut, dan saya rasa lebih baik penonton menilai sendiri selepas melihat keseluruhan filem.

Lagi artikel di ifon.my  Spider-Man Terangi Langit Kuala Lumpur Dengan 600 Dron, Sambutan Luar Biasa Di TRX

Saya tahu Verity menerima skor yang agak rendah di Rotten Tomatoes, tetapi secara jujurnya, saya tidak melihat skor tersebut sebagai penentu mutlak kepada pengalaman menonton saya.

Ada filem yang mendapat pujian tinggi tetapi tidak semestinya meninggalkan kesan kepada saya, begitu juga dengan filem yang menerima kritikan tetapi sebenarnya mampu memberikan pengalaman yang cukup menarik kepada penonton tertentu.

Bagi saya, Verity adalah sebuah filem yang menarik, khususnya kepada mereka yang gemar cerita berkaitan psikologi, rahsia keluarga, penipuan dan persoalan tentang siapa sebenarnya yang boleh dipercayai. Mungkin kerana latar ceritanya begitu dekat dengan dunia penulisan, saya lebih mudah untuk menghayati apa yang cuba disampaikan.

Tanpa prejudis, saya berikan 8/10 kepada Verity. Bukan kerana saya mahu meletakkan skor tinggi semata-mata, tetapi kerana selepas menontonnya, saya masih memikirkan tentang cerita ini dan persoalan yang ditinggalkan pada penghujung filem. Bagi saya, apabila sesebuah filem masih membuatkan kita berfikir walaupun selepas kredit terakhir muncul, itu sudah cukup untuk menjadikannya sebuah tontonan yang menarik.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Dato’ Jalaludin Hassan Dinobatkan Juara Kilauan Emas Selebriti