KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 — iQOO kembali memberi perhatian kepada segmen telefon pintar berprestasi tinggi menerusi iQOO 16, model flagship baharu yang menggabungkan kuasa pemprosesan, paparan beresolusi tinggi serta ciri gaming yang lebih agresif.
Antara tarikan utama iQOO 16 ialah penggunaan Snapdragon 8 Elite Gen 6 berasaskan teknologi 2nm, selain menjadi telefon Android pertama yang menggunakan bahan pemancar Samsung M16 bersama teknologi 2K LEAD™ 2.0.

Lebih menarik, iQOO 16 turut dilengkapi paparan 2K dengan kadar segar semula 165Hz, yang dibangunkan bersama Samsung Display. Skrin ini menawarkan kecerahan puncak global sehingga 2,800 nits, selain penggunaan kuasa yang dikatakan 31 peratus lebih rendah berbanding panel 1.5K bersaiz sama.
Bagi pengguna yang menjadikan telefon pintar sebagai peranti gaming utama, iQOO tidak hanya bergantung kepada spesifikasi atas kertas. iQOO 16 hadir dengan rangka kerja “3+2 Gaming Technology Framework” yang menggabungkan grafik, kawalan dan penalaan prestasi, selain sokongan gaming merentas peranti serta penstriman permainan.

Skrin 165Hz itu sendiri disokong pada lebih 100 aplikasi dan lebih 50 permainan popular. Teknologi Q-flex pula direka untuk mengurangkan latensi sentuhan, manakala sistem penyegerakan bingkai terbina dalam membantu menghasilkan pergerakan yang lebih lancar ketika permainan berlangsung pantas.
Untuk grafik, iQOO 16 menggunakan cip gaming Q4 dengan seni bina tiga teras. Menurut iQOO, cip ini menawarkan peningkatan prestasi 15 peratus, kelajuan cache 19 peratus lebih pantas serta peningkatan 19 peratus dalam kuasa pengkomputeran AI.
Ia turut menyokong gabungan ray tracing seluruh babak, game super resolution dan frame interpolation, termasuk teknologi virtual point light yang sebelum ini lebih sinonim dengan pengalaman gaming pada konsol.

Dalam aspek kawalan pula, Q-flex membawa pengoptimuman kawalan bertaraf PC ke telefon pintar. Teknologi ini disepadukan terus ke dalam saluran pemaparan permainan bagi membantu mengurangkan latensi sentuhan dan meningkatkan ketepatan kawalan.
iQOO 16 juga mampu mencapai sehingga 165FPS pada kualiti imej maksimum untuk Honor of Kings, dengan sokongan cip kawalan sentuhan khusus serta giroskop generasi baharu.
Dari sudut perkakasan, telefon ini menggunakan Snapdragon 8 Elite Gen 6 2nm, memori LPDDR5X Ultra Pro dan storan UFS 4.1. Sistem penyejukan 8.5K Ice Dome VC pula digunakan untuk membantu mengekalkan prestasi ketika peranti beroperasi di bawah beban tinggi.
iQOO turut memperkenalkan Monster Core Engine, iaitu sistem penjadualan pada peringkat kernel yang mengoptimumkan pengagihan sumber bagi mengekalkan kadar bingkai lebih stabil sambil mengawal penggunaan kuasa.
Menariknya, iQOO turut memperluaskan fungsi gaming iQOO 16 melangkaui permainan mudah alih. Emulator permainan PC terbina dalam menyokong hampir 100 judul PC, manakala Game Space Large Screen Mode menyediakan pengalaman permainan pada skrin lebih besar apabila telefon dipancarkan ke paparan luaran.
Untuk pencipta kandungan dan streamer pula, iQOO 16 menawarkan sokongan penstriman dengan output kadar bingkai tinggi serta pengekodan kualiti asal.
Dari segi reka bentuk, iQOO 16 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu Chasing Light, Legend dan Racing Track. Varian Chasing Light menggunakan kemasan kaca AG dengan proses laser holografik yang menghasilkan corak tiga dimensi pada panel belakang.
Modul kamera Tomorrow Porthole pula menampilkan tiga kamera di sebalik kaca lutsinar dengan susunan yang diinspirasikan daripada tanda navigasi.
Untuk fotografi, sistem kamera utama menggunakan sensor 50MP bersaiz 1/1.3 inci yang dikatakan mampu menangkap 79 peratus lebih banyak cahaya. Ia dipadankan dengan penstabilan CIPA 5.5, enjin pemprosesan NICE 3.0 dan teknologi Ultra-Light HDR.
Turut tersedia ialah kamera telefoto periskop Sony 50MP serta kamera ultralebar 50MP. Sistem ini turut menawarkan ciri seperti Bright Portrait Rim Light, Bright Tone Diffused Light dan rakaman 4K Live.

iQOO 16 menjalankan OriginOS 7 dan dilengkapi bateri besar berkapasiti 8,400mAh. Ia menyokong pengecasan berwayar 100W FlashCharge serta pengecasan tanpa wayar 40W.
Antara kelengkapan lain termasuk Esports Network System 3.0, sokongan jalur N79, sensor cap jari ultrasonik 3D, motor dwi-paksi Warhammer MAX, pembesar suara stereo simetri Drum Master Pro serta penarafan IP68 dan IP69 untuk perlindungan terhadap habuk dan air.
Untuk pasaran Malaysia, iQOO 16 dijangka diperkenalkan pada November 2026. Ia akan ditawarkan dalam konfigurasi 12GB + 256GB, 12GB + 512GB, 16GB + 512GB dan 16GB + 1TB, dengan pilihan warna Chasing Light, Legend dan Racing Track.
Dengan kombinasi skrin 2K 165Hz, Snapdragon 8 Elite Gen 6, bateri 8,400mAh dan fokus yang begitu kuat terhadap gaming, iQOO 16 dilihat sebagai antara model flagship yang menarik perhatian apabila memasuki pasaran Malaysia nanti.
