Pada Jun lalu, Apple The Exchange TRX telah bertapak secara rasmi, menjadikan satu-satunya di Malaysia dan ketiga di rantau Asia Tenggara memiliki Apple Store.
Keberadaan Apple The Exchange TRX tidak memberi kesan signifikan kepada Penjual Apple Berdaftar (AAR), atas faktor lokasi, promosi dan kepelbagaian produk serta aksesori.
Walakin begitu, tidak dinafikan jumlah pengunjung di Apple The Exchange TRX sangat memberangsangkan.
Ini didorong oleh hospitaliti berkelas tinggi, Genius Bar, Today at Apple, persekitaran yang lebih selesa dan banyak lagi.Sewaktu pembukaan Apple The Exchange TRX, kelibat Tim Cook tidak kelihatan, hanya Deirdre O’Brien hadir untuk memeriahkan acara tersebut.
Disebabkan keberadaan Apple The Exchange TRX di kota metropolitan, rata-rata orang yang berada di Pantai Timur, Selatan dan Wilayah Sabah dan Sarawak tidak dapat berkunjung ke sana. Maka AAR seperti Switch, Machines, IT World dan lain-lain menjadi alternatif untuk membeli belah.
Walaupun ramai tertumpu di Apple Store, AAR menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk produk seperti iPhone, iPad, Apple Watch, Mac dan lain-lain.Sebagai contoh iPhone 15 dengan kapasiti 128GB dijual pada harga RM3,499 di Apple The Exchange TRX.
Jika anda membelinya secara dalam talian, harga jualan bagi produk sama hanya RM3,408.Promosi seperti ini sering berlaku dengan potongan harga yang jauh lebih baik berbanding di Apple Store.
Promosi seperti ini bukan sahaja berlangsung secara dalam talian, malah luar talian turut berlaku tertakluk kepada terma dan syarat.Selain itu, AAR juga menawarkan kepelbagaian jenis pembayaran sama ada melalui ansuran bulanan kad kredit, kad debit dan lain-lain.
Atas sebab-sebab tersebut, tidak hairanlah mengapa orang ramai masih memilih AAR sebagai destinasi membeli produk Apple.Disebabkan terlalu banyak AAR di Malaysia, saya terdetik untuk mendapatkan maklum balas dalam kalangan warga maya, AAR mana memberikan perkhidmatan terbaik.
Seramai 1,585 warga maya telah membuat undian di platform X selama 24 jam.Dapatan menunjukkan lebih 50% warga maya memilih Switch sebagai destinasi pilihan untuk membeli produk Apple.
Switch mula bertapak pada tahun 1995 dalam kumpulan kecil rakan-rakan untuk berkongsi akan kelebihan produk Apple.Pulau Pinang menjadi negeri pertama menawarkan perkhidmatan tersebut dan kini Switch sudah mempunyai lebih 80 cawangan seluruh Malaysia.
Saya salah seorang pengguna yang menjadikan Switch lokasi pilihan disebabkan oleh hospitaliti yang baik ditawarkan oleh kakitangan mereka.Dengan pelbagai lokasi ditawarkan, telah memudahkan saya berurusan jika mempunyai sebarang masalah atau pertanyaan.
Setakat ini, Switch Aeon Kota Bharu, Switch Sunway Pyramid dan Switch KBMall antara destinasi pilihan saya atas sebab yang dinyatakan di atas.Tidak hairanlah mengapa majoriti memilih Switch, begitu juga saya.
Selain Switch, Machines turut menjadi pilihan dengan undian sebanyak 38%.Machines banyak tertumpu di lokasi strategik terutama di pusat beli belah. Machines juga antara AAR terawal memperoleh status Apple Premium Partner (APP).
Machines menawarkan perkhidmatan sama seperti AAR lain dengan penawaran produk serta perkhidmatan berkelas premium.IT World pula berada di kedudukan ketiga dengan undian cuma 4%.
Jika anda selalu mengikuti perkembangan saya, sudah diketahui IT World pernah menawarkan pengalaman mengerikan sewaktu saya membeli di sana.Sehingga kini, saya serik untuk membeli di sana selagi staf tersebut masih bekerja di sana.
Saya tidak menuduh semua IT World menawarkan hospitaliti yang menyeramkan. Hanya IT World, KBMall sahaja yang menyebabkan saya tidak lagi berkunjung sehingga kini.IT World menawarkan perkhidmatan sama, cuma saya kurang pasti sama ada masih berstatus AAR atau sebaliknya.
Ini kerana, IT World menawarkan bukan sahaja produk Apple, malah produk lain seperti Microsoft Surface, HP dan lain-lain.Selain ketiga-tiga AAR berkenaan, terdapat banyak lagi AAR di Malaysia termasuk CelcomDigi, U Mobile, SenQ, Urban Republic dan lain-lain.
Pemilihan AAR penting untuk anda mendapat pengalaman serta ilmu sewaktu berkunjung.Kehadiran Apple The Exchange TRX hakikatnya tidak memberi impak besar kepada AAR walaupun ramai tertumpu di sana.
Terdapat kelebihan dan kekurangan jika anda memilih AAR atau Apple Store.Satu kelebihan yang ada pada Apple Store adalah polisi 14 hari pemulangan serta Genius Bar.
Jika anda bertanya pandangan saya, untuk merasai pengalaman mencuba produk Apple, saya akan ke Apple The Exchange TRX.Tapi, untuk membeli produk saya akan memilih AAR atas faktor harga, kecuali kedua-dua lokasi mempunyai tanda harga sama, maka saya memilih Apple Store.