in ,

MacBook Air (M4) : Nipis Tapi Berkuasa

MacBook Air bukanlah produk baharu, mula diperkenalkan pada tahun 2008 dan menjadi fenomena kerana fizikalnya yang ultra-nipis.

MacBook Air telah merubah landskap dunia pengkomputeran yang pada ketika itu bergantung kepada NetBook.

Sewaktu awal kemunculan MacBook Air, Apple mendapat kritikan kerana tidak menawarkan pemacu CD-ROM yang menjadi keutamaan bagi sebuah komputer riba.

Malah beberapa port penting telah dibuang dan memfokuskan kepada port USB semata.’Pengorbanan’ tersebut terpaksa dibuat bagi memastikan fizikal MacBook Air tampak nipis dan premium.

Sejak itu, MacBook Air mengalami banyak perubahan sehingga kini ia ditawarkan dengan cip pemprosesan M4.

MacBook Air (M4) telah dilancarkan pada bulan ini pada harga bermula RM4,499 bagi 13-inci dan RM5,499 untuk 15-inci.

Kontradiksi dengan MacBook Air (M3), ia dijual pada harga bermula RM5,199 untuk 13-inci manakala bagi 15-inci RM6,199.Perbezaan RM700 cukup untuk menzahirkan MacBook Air (M4) sebuah komputer riba paling berpatutan untuk dimiliki.

Walaupun prestasi CPU dan GPU bagi M4 dengan M3 tidaklah radikal. Tapi cukup untuk memberi lebih peningkatan terhadap model terbaharu ini.

MacBook Air terbaharu ini menggunakan pemproses M4 (berdasarkan cip A18 yang digunakan untuk iPhone 16).Menurut Apple, M4 menawarkan prestasi CPU lebih 50% serta empat kali lebih baik bagi GPU berbanding M2.

Peningkatan ini sudah pasti akan menawarkan pengalaman dalam menggunakan Generatif AI lebih lancar.Tidak dinafikan, pembangunan beberapa fitur Apple Intelligence masih tertangguh dan dikhabarkan akan diperkenalkan sewaktu pelancaran macOS baharu kelak.

Lagi artikel di ifon.my  Berhati-hati Semasa Membeli iPhone Serta Aksesori

Namun, bukan satu penghalang untuk kita memilih MacBook Air (M4).Saya percaya rata-rata dalam kalangan kita tidak memanfaatkan Apple Intelligence. Percayalah, beberapa tahun mendatang fungsi ini bakal menjadi keperluan untuk kita melakukan tugasan.

Sudah pasti Apple akan mengembangkan potensi Apple Intelligence untuk perkara lain yang bermanfaat.Jika anda sudah mempunyai MacBook Air (M1) dan ke atas.

Bukan satu kemestian untuk anda menaik taraf ke model baharu.MacBook Air (M4) sesuai untuk sesiapa yang ingin merasai ekosistem Apple secara menyeluruh.

Pengalaman menggunakan macOS berbeza dengan iOS, iPadOS mahupun watchOS.Jika anda seorang pelajar atau warga pendidik, boleh memanfaatkan dengan membeli melalui pelan pendidikan.

MacBook Air (M4) dijual lebih murah iaitu bermula RM4,069 bagi 13-inci dan RM5,099 untuk 15-inci.Ramai masih skeptikal untuk membeli MacBook kerana beranggapan perisian yang ditawarkan untuk macOS terhad dan berbayar.

Tidak semua perisian berbayar dan kebanyakan perisian asas sudah ditawarkan untuk macOS.Microsoft Office (Word, Power Point, Excel), Adobe (Photoshop, Ilustrator, Acrobat, Premier), Spotify, WhatsApp, ChatGPT dan lain-lain sudah ditawarkan.

Malah sokongan mesin pencetak (printer) terkini sudah menyokong macOS.Kelebihan MacBook Air adalah sokongan macOS lebih lima tahun dan risiko terhadap virus atau perisian hasad lebih rendah berbanding Windows.

Perlu diingatkan, macOS tidak kebal atau bebas dari serangan. Tapi kebarangkalian untuk diserang lebih rendah.Kendatipun begitu, saya kurang menggalakkan anda untuk membeli MacBook Air dengan storan 256GB lebih-lebih lagi jika anda memiliki iPhone.

Lagi artikel di ifon.my  iPhone SE 3 Dilancarkan Pada Suku Pertama 2022?

Terdapat kes sebilangan pengguna gagal untuk mengemas kini iOS menggunakan macOS disebabkan storan dalaman yang terhad.Contohnya, anda ingin mengemas kini iPhone 16 Pro 256GB menggunakan MacBook Air (256GB) sudah pasti data yang disandarkan (backup) tidak mencukupi.Kecuali anda hanya guna kurang 50GB pada iPhone 16 Pro tersebut.

Walakin begitu, anda masih boleh menggunakan cakera keras luaran (external hard disk) untuk menyimpan fail-fail besar. Kelebihan macOS adalah dari segi kestabilan serta keserasian dengan iPhone, iPad, Apple Watch, AirPods dan lain-lain.

Saya menggunakan MacBook sejak awal tahun 2000, sehingga kini belum dapat mencari pengganti sesuai.Walaupun MacBook Air (M4) menarik, model ini tidak didukung kipas yang menyejukkan komponen dalaman.

Hanya MacBook Pro sahaja menawarkan ciri-ciri tersebut.Embuh-embuhan begitu, memandangkan M4 berteraskan 3nm ARM. Kebarangkalian untuk panas melampau itu sangat rendah dan bergantung kepada penggunaan.

Teringin untuk saya mengadakan kelas percuma untuk mengajar anda akan kelebihan macOS.Saya percaya, setelah anda menggunakan sepenuhnya fungsi yang ditawarkan, akan terus jatuh cinta.

Jika ribang menusuk atma, jangan sampai jadi pawakan, bawalah pawana bersama mega, agar kelemayar sabitah menerangi buana.

Kata sahibul hikayat terlalu lanjut, jika hamba hikayatkan semuanya, jemu orang yang membacanya. Maka hamba simpankan juga, kerana perkataan yang amat lanjut itu tidak gemar bagi orang yang tinggi himmahnya.

Assalamualaikum.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Juadah ‘Rahmah’ : Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton

Tiada Warna Baharu Bagi iPhone 16?