Astro Shaw dengan bangganya mempersembahkan satu inisiatif istimewa bersama jenama piuter tempatan tersohor, Royal Selangor, melalui penghasilan koleksi edisi terhad yang diinspirasikan daripada filem adiwira ikonik Malaysia Keluang Man.

Koleksi eksklusif ini merangkumi patung kecil (figurine) dan lapel yang direka dengan penuh teliti oleh tukang piuter mahir Royal Selangor, sekaligus menandakan kerjasama sulung antara dua nama besar dalam bidang masing-masing di mana Astro Shaw sebagai peneraju industri perfileman tanah air dan Royal Selangor yang terkenal di peringkat antarabangsa dengan seni kraf piuter bertaraf dunia.
Koleksi istimewa ini menampilkan Keluang Man dalam bentuk patung kecil dan pin eksklusif yang dihasilkan daripada piuter berkualiti tinggi mencerminkan identiti unggul Royal Selangor.
Patungnya dirakam dalam gerakan penuh gaya dengan posisi bersilat ikonik, diinspirasikan daripada siri animasi kegemaran ramai. Dihasilkan dengan kemasan satin yang elegan, patung ini hanya dikeluarkan sebanyak 30 unit sahaja, lengkap dengan nombor siri individu dan ruang khas untuk ukiran peribadi pada tapaknya.
Bagi peminat aksesori eksklusif, lapel Keluang Man menampilkan lambang ikonik sang adiwira sebagai penghormatan kepada wira rakyat yang membanteras jenayah dalam senyap malam.
Pin ini ditawarkan dalam dua versi iaitu kemasan satin dan edisi lebih premium bersalut emas 24K dengan jumlah pengeluaran terhad hanya 100 unit.


Koleksi ini bakal dilancarkan secara rasmi dan mula dijual di peruncit terpilih Royal Selangor bermula Mei 2025.
Menurut Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad:“Kolaborasi ini mencerminkan strategi kami untuk memperluas nilai harta intelek (IP) filem tempatan serta memperkukuh jenama Keluang Man menerusi kerjasama dengan jenama premium seperti Royal Selangor. Ia bukan sekadar koleksi memorabilia, tetapi satu langkah penting dalam memperkasa ekosistem industri kreatif dan mengetengahkan warisan seni negara kepada khalayak lebih luas.”
Filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Halim Othman, Amelia Henderson, Sham Sunder, Dennis Yin dan ramai lagi.
Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 29 Mei 2025.