Sekiranya anda seorang pencinta filem animasi, Elio sebuah naskhah terbaharu daripada Disney dan Pixar yang wajib untuk disaksikan.
Studio yang terkenal dengan karya ikonik seperti Finding Nemo, Toy Story dan Coco ini sekali lagi menghadiahkan kita satu kisah menyentuh hati yang penuh warna dan makna.

Elio memperkenalkan kita kepada watak utama bernama Elio, seorang kanak-kanak lelaki yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya.
Kini tinggal bersama makciknya, (Olga Solis) seorang mejar dalam angkatan tentera. Hubungan antara mereka agak renggang. Elio, yang bergelut dengan rasa kesunyian dan kehilangan, sering mengasingkan diri dan berangan-angan untuk bertemu makhluk asing yang dianggap satu-satunya “teman” yang mampu mengubati lukanya.

Tanpa disangka, impiannya menjadi kenyataan apabila dia “diculik” oleh sekumpulan makhluk asing dan dibawa ke sebuah dunia luar angkasa bernama Communiverse.
Di sana, Elio bukan sahaja berdepan budaya dan makhluk baharu yang mengujakan, tetapi juga ancaman besar daripada penjahat bernama Lord Grigon.

Walaupun pada awalnya makhluk asing ingin menghantarnya pulang ke Bumi, Elio memilih untuk tinggal dan membantu menyelamatkan dunia baharunya itu.
Persahabatannya bersama Glordon, seekor cacing angkasa yang ternyata adalah anak kepada Lord Grigon, menjadi titik tolak kepada momen-momen paling menyentuh dan menghiburkan dalam filem ini.

Gabungan unsur komedi, keberanian, kasih sayang dan pengorbanan menjadikan Elio sebuah kisah universal tentang pencarian identiti dan erti kekeluargaan.Apa yang menarik, terdapat satu babak yang menggunakan bahasa Melayu momen ringkas tetapi cukup untuk membuat penonton tempatan tersenyum bangga dan lebih terhubung dengan cerita.



Secara peribadi, saya merasakan Elio sangat sesuai ditonton bersempena sambutan Hari Bapa kerana ia menyampaikan mesej halus tentang kasih seorang ayah meskipun bukan secara langsung.
Hubungan antara Elio dan Olga turut menjadi teras emosi cerita ini. Konflik mereka mencerminkan isu komunikasi antara generasi, yang sebenarnya boleh dirungkai dengan lebih empati dan pengertian.

Dari segi teknikal, kualiti animasi Pixar tidak pernah mengecewakan kaya dengan perincian dan warna yang memukau.
Runut bunyi filem ini juga cukup mengasyikkan, memberi nyawa kepada setiap babak. Menonton Elio di layar gergasi pawagam ONYX dengan teknologi skrin Samsung benar-benar meningkatkan pengalaman sinematik saya.

Tuntasnya, Elio bukan sekadar filem animasi biasa. Ia adalah kisah tentang harapan, penerimaan diri, dan keindahan persahabatan dalam dunia yang serba asing.
Bawalah keluarga atau anak-anak menonton filem ini di pawagam bermula 19 Jun, saya yakin anda tidak akan pulang dengan tangan kosong, tetapi dengan hati yang penuh rasa.
Skor : 7.8/10 (78%)