in

Mencari Ramlee : Sebuah Penghormatan Ikhlas buat Lagenda

Mencari Ramlee merupakan sebuah naskhah yang menyentuh hati, dibawakan dengan penuh jujur oleh pengarah Megat Sharizal.

Dibintangi oleh Tony Eusoff, Sofia Jane, Mimi Lana, Megat Sharizal sendiri, Han Zalini dan Abi Madyan. Filem ini membawa kita kembali ke 30 Mei 1973, sehari selepas pemergian seniman agung negara, Tan Sri P. Ramlee.

Namun, ini bukan kisah P. Ramlee sebaliknya, kisah tentang legasi beliau serta impak yang ditinggalkan kepada generasi selepasnya.

Filem ini mengangkat watak Zakaria, seorang lelaki yang gemar meniru gaya P. Ramlee namun bergelut mencari kerja, dan turut menjaga adiknya Yasmin yang masih menuntut di universiti.

Terdesak dengan tekanan hidup, Zakaria berhutang dengan seorang gangster bernama Yusuf. Ketika cuba menyelesaikan hutang, Zakaria diperkenalkan kepada Zaiton kakak Yusuf yang mengalami amnesia dan percaya dirinya masih hidup di zaman 50-an.

Zaiton menyangka Zakaria ialah P. Ramlee, dan Yusuf mengambil kesempatan dengan memujuk Zakaria agar terus berlakon menjadi “idolanya” demi menggembirakan kakaknya dan melangsaikan hutang.

Lagi artikel di ifon.my  Perjuangan Epik Qodrat 2 Bakal Menghantui Layar Perak Bermula 17 April Menerusi Kerjasama Strategik Bersama Astro Shaw.

Apa yang bermula sebagai satu penipuan kecil berubah menjadi perjalanan emosi yang mendalam, bukan sahaja untuk Zakaria, tetapi juga untuk Yasmin.

Secara visual, filem ini sangat memikat. Warna-warna yang digunakan terasa hidup, menggambarkan suasana era 70-an dengan penuh gaya.

Pengarah Megat Sharizal berjaya menyuntik elemen nostalgia yang indah tanpa berlebihan. Tony Eusoff memberi persembahan yang cukup matang sebagai Zakaria emosinya tepat, dan pembawaannya terasa tulus.

Sofia Jane pula tampil dengan lakonan berkelas, penuh penghayatan sebagai Zaiton.

Lokasi penggambaran mungkin terhad, namun setiap sudut diolah dengan cukup baik untuk menghidupkan suasana retro. Filem ini bukan sekadar hiburan ia satu bentuk penghormatan terhadap seni dan perjuangan seniman terdahulu.

Lagi artikel di ifon.my  This Land of Mine : Misteri Pulau Raksasa?

Ia juga mengangkat nilai kasih sayang, pengorbanan dan penghargaan terhadap warisan budaya kita.Sebagai penonton, saya ingin tekankan betapa pentingnya sokongan kita terhadap filem sebegini.

Hari ini saya berdua sahaja berada dalam pawagam TGV Strand Mall, sesuatu yang cukup menyedihkan, apatah lagi pada hari cuti hujung minggu.

Filem berkualiti seperti ini tidak sepatutnya dibiarkan tenggelam begitu sahaja. Ingat, Skim Wajib Tayang memberi hak kepada pawagam menarik balik tayangan sekiranya jumlah penonton kurang 15%.

Jika kita sendiri tidak menyokong filem tempatan, siapa lagi? Mencari Ramlee bukan sekadar filem ia cerminan cinta terhadap seni tanah air.

Mari kita ke pawagam, ajak keluarga dan rakan-rakan. Beri peluang kepada karya sebegini untuk terus hidup dan berkembang.

Jangan biarkan ia rebah sebelum waktunya.Jom kita sokong filem tempatan. Jom kita cari semula semangat Ramlee dalam diri kita semua.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Ulasan Filem Elio: Menyuntik Kasih Sayang Dan Hadiah Hari Bapa