in ,

Dendam Malam Kelam : Misteri dan Memukau

Jika anda peminat filem penuh misteri dan psikologi gelap seperti Misteri Dilaila atau Sheriff, maka Dendam Malam Kelam adalah naskhah yang wajib anda tonton.

Filem ini bukan sekadar penceritaan biasa, bahkan mengundang teka-teki serta teori dari awal hingga akhir. Filem ini membuka tirai dengan kematian mengejut Sofia, isteri kepada Jefri seorang lelaki muda yang tampan dan misteri.

Namun, apa yang mengejutkan, mayat Sofia tiba-tiba hilang dari bilik forensik. Maka bermulalah episod misteri dengan pelbagai andaian dan teori, termasuk unsur mistik yang menghantui bangunan tersebut.

Jefri (Arya Saloka) kemudiannya dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan. Walaupun kematian diklasifikasikan akibat serangan jantung, kehilangan mayat menimbulkan syak wasangka.

Tambahan pula, Jefri bukanlah suami yang setia. Di sebalik perkahwinan atas nama cinta, dia sebenarnya menjalinkan hubungan sulit bersama Sarah (Davina Karamoy), sementara hidupnya dikawal sepenuhnya oleh Sofia (Marissa Anita) yang memegang kuasa penuh ke atas harta dan wasiat.

Lagi artikel di ifon.my  Mickey 17: Eksplorasi Ke Planet Baharu, Penuh Dramatik

Ketegangan memuncak apabila Jefri mula menerima ‘petunjuk-petunjuk’ ganjil sepanjang berada di bangunan forensik yang seolah-olah menghantui dan mengetahui tindakannya.

Namun semua itu hanya dilihat oleh Jefri, bukan oleh detektif Arya Pradana (Bront Palarae) atau pihak berkuasa lain.Saya boleh katakan Dendam Malam Kelam sebuah naskah terbaik dari Indonesia.

Plot yang penuh misteri dengan permainan minda. Sinematografi boleh dianggap mantap dengan tona warna yang berwarna warni serta memukau, mengingatkan kepada karya arahan Kabir Bhatia.

Lakonan Bront Palarae turut mencuri perhatian dengan karisma dan kehadiran yang dominan. Arya Saloka juga menampilkan sisi baru yang menyakinkan.

Walaupun filem ini jelas menampilkan Jefri sebagai ‘pembunuh’, ia bukan tentang siapa yang melakukannya, tetapi bagaimana dan kenapa. Inilah kekuatan naskhah ini bermain dengan psikologi penonton dan membina suspens demi suspens.

Lagi artikel di ifon.my  Wantugo Bakal Jadi Filem “Squid Game” Malaysia?

Dendam Malam Kelam ialah sebuah filem Indonesia yang memiliki kualiti antarabangsa. Ia bukan sekadar adaptasi, tetapi olahan yang cukup kemas dan mencengkam.

Jalan cerita yang berliku, lakonan mantap, serta visual yang memukau menjadikannya antara filem terbaik tahun ini dari Indonesia .

Untuk menambah keseronokan, saya menggalakkan anda menonton di pawagam ONYX dengan teknologi skrin Samsung benar-benar meningkatkan pengalaman sinematik.

Terima kasih kepada GSC Movies kerana membawa filem ini ke layar perak Malaysia. Dendam Malam Kelam bakal ditayangkan bermula 26 Jun 2025.

Skor : 7.7/10 (77%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Raise The Star Malaysia : 10 Peserta Tersingkir, 20 Bakal Berentap di Minggu Kedua