in ,

The Mandalorian and Grogu: Hadiah Istimewa Buat Peminat Star Wars

Star Wars: The Mandalorian and Grogu boleh saya katakan sebagai sebuah filem yang didedikasikan khas buat peminat tegar francais Star Wars. Filem ini mengisahkan pengembaraan Din Djarin atau Mandalorian bersama Grogu dalam satu misi penyelamatan yang penuh cabaran. Namun, segalanya menjadi rumit apabila berlakunya satu pengkhianatan yang meletakkan nyawa Mandalorian dalam bahaya.

Bagi saya, plot filem ini disusun dengan kemas dan mudah diikuti. Penceritaannya ringkas, tidak terlalu kompleks, tetapi tetap berjaya menghiburkan dari awal hingga akhir. Sebelum menonton filem ini, saya amat menggalakkan penonton mengikuti siri The Mandalorian di Disney+ terlebih dahulu bagi memahami hubungan akrab antara Mandalorian dan Grogu dengan lebih mendalam.

Lagi artikel di ifon.my  Mencari Ramlee : Sebuah Penghormatan Ikhlas buat Lagenda

Seperti yang dijangka, Grogu sekali lagi menjadi tumpuan utama. Gelagat dan celotehnya yang mencuit hati berjaya menceriakan suasana, malah tidak keterlaluan jika saya katakan kekuatan terbesar filem ini terletak pada watak Grogu yang begitu comel dan menghiburkan.

Dari segi penceritaan, filem ini terasa seperti sebuah “mini siri” yang diterjemahkan ke layar perak. Walaupun jalan ceritanya sederhana, ia tetap berkesan dalam menyampaikan elemen pengembaraan dan persahabatan yang menjadi identiti siri ini. Kualiti kesan visual (CGI) pula sangat memuaskan, manakala runut bunyinya segar dan sesuai dengan suasana yang ingin dibawakan.

Namun begitu, saya akui filem ini mungkin tidak memenuhi cita rasa semua penonton. Mereka yang tidak begitu mengikuti dunia Star Wars mungkin merasakan penceritaannya agak perlahan atau mengharapkan sesuatu yang lebih gelap, epik dan mendebarkan. Memandangkan saya telah mengikuti siri The Mandalorian sebelum ini, saya sudah menjangkakan pendekatan penceritaan seperti ini dan tidak mempunyai masalah dengannya.

Lagi artikel di ifon.my  Ulasan Filem Elio: Menyuntik Kasih Sayang Dan Hadiah Hari Bapa

Secara keseluruhan, saya amat terhibur dengan filem ini. Jika anda peminat dunia Star Wars, jangan lepaskan peluang untuk menontonnya di pawagam berhampiran. Saya juga sangat mengesyorkan format IMAX kerana pengalaman visual dan audio yang jauh lebih imersif.

Skor: 7.5/10 (75%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Hoppers Menghiburkan

Passenger: Filem Seram Penuh Kejutan Yang Akan Membuatkan Anda Sentiasa Berjaga-jaga