Malam tadi, orang ramai yang berada di sekitar Bukit Bintang disajikan dengan satu pemandangan luar biasa apabila langit Kuala Lumpur diterangi oleh 600 dron sempena promosi filem Masters of the Universe yang akan ditayangkan di pawagam bermula 4 Jun 2026.

Apa yang menarik, Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi promosi biasa. Negara kita dipilih sebagai salah satu daripada hanya tiga pasaran di seluruh dunia untuk menjayakan kempen global ini, bersama Los Angeles dan Mexico. Ini sekali gus meletakkan Kuala Lumpur dalam kelompok eksklusif bagi pelancaran francais ikonik tersebut.
Bermula sekitar jam 10.30 malam, ratusan dron membentuk pelbagai imej yang cukup sinonim dengan dunia Masters of the Universe. Antaranya termasuk pedang kuasa (Power Sword) bersaiz gergasi dan visual pertembungan antara He-Man serta musuh ketatnya, Skeletor. Dari bawah, orang ramai hanya mampu mengangkat telefon pintar masing-masing untuk merakam detik yang jarang berlaku ini.

Pertunjukan berteknologi tinggi itu dikendalikan oleh Heads in the Sky, syarikat pakar persembahan dron dari Hollywood. Dengan 600 dron bergerak serentak di ruang udara Kuala Lumpur, ia boleh dianggap antara promosi filem paling besar yang pernah diadakan di pusat bandar raya ini.
Sony Pictures Entertainment Malaysia turut menyediakan replika Power Sword kepada tetamu jemputan dan pencipta kandungan. Ketika kemuncak persembahan, kesemua mereka mengangkat pedang tersebut serentak sebelum langit memaparkan mesej yang cukup bertepatan dengan tema filem berkenaan “Malaysia, We Have The Power!”.

Pada pandangan saya, ini bukan sekadar pertunjukan dron atau promosi filem semata-mata. Ia menunjukkan bahawa Malaysia semakin kerap dipilih sebagai lokasi aktiviti pemasaran bertaraf antarabangsa. Jika dahulu acara seperti ini sering tertumpu di Amerika Syarikat atau Eropah, kini Kuala Lumpur juga mula mendapat tempat dalam peta kempen global industri hiburan.
Masters of the Universe akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 4 Jun 2026.

