Menjelang WWDC 2026, Apple sekali lagi berdepan perhatian besar terhadap hala tuju kecerdasan buatan (AI) syarikat itu. Menurut laporan yang dikongsi oleh Mark Gurman, Kelsey Peterson, individu yang pernah memperkenalkan pembaharuan Siri berasaskan AI ketika WWDC 2024, kini dilaporkan telah menyertai OpenAI.
Perkembangan ini semestinya menarik perhatian kerana Kelsey merupakan antara wajah yang dikaitkan dengan pengumuman besar Siri dan Apple Intelligence dua tahun lalu. Namun, realitinya, sebahagian daripada ciri Siri yang diperlihatkan ketika itu masih belum dilancarkan sepenuhnya kepada pengguna seperti yang dijanjikan.

Pemergian beliau tidak semestinya memberi kesan langsung kepada pembangunan Siri, memandangkan projek berskala besar seperti Apple Intelligence melibatkan ratusan jurutera dan pelbagai pasukan di dalam Apple. Namun dari sudut persepsi awam, ia memberi gambaran bahawa Apple sedang melalui fasa perubahan ketika syarikat itu berusaha mengejar momentum AI yang kini diterajui oleh pemain seperti OpenAI, Google dan Microsoft.
Apa yang lebih menarik, WWDC 2026 dijangka menjadi pentas penting untuk Apple membuktikan bahawa strategi AI mereka masih berada di landasan yang betul. Dengan Kelsey tidak lagi berada di Apple, kemungkinan besar kita akan melihat wajah baharu tampil menerangkan evolusi Siri serta kemajuan terkini Apple Intelligence kepada komuniti pembangun dan pengguna.
Persoalan utama bukanlah siapa yang akan membuat pembentangan di atas pentas WWDC nanti. Sebaliknya, pengguna mahu melihat sama ada Apple akhirnya mampu merealisasikan visi Siri yang lebih pintar, lebih kontekstual dan benar-benar membantu dalam penggunaan harian.
WWDC 2024 memperkenalkan visi. WWDC 2026 pula berpotensi menjadi medan untuk Apple membuktikan bahawa visi tersebut boleh diterjemahkan kepada produk yang benar-benar siap digunakan. Jika itu berjaya dicapai, nama individu yang berdiri di atas pentas mungkin tidak lagi menjadi isu utama. Pengguna hanya mahukan satu perkara , Siri yang benar-benar pintar dan menepati janji.

