Maklumat terbaharu yang dikongsikan oleh Ice Universe di platform X mendedahkan bahawa Apple dijangka menawarkan kapasiti bateri yang sedikit lebih besar pada iPhone 18 Pro berbanding generasi sebelumnya.
Berdasarkan maklumat tersebut, iPhone 18 Pro versi SIM fizikal dikatakan akan hadir dengan bateri berkapasiti 4056mAh, meningkat daripada 3988mAh pada iPhone 17 Pro. Ini bersamaan peningkatan sekitar 1.71%.
Bagi model eSIM pula, kapasiti bateri dilaporkan meningkat kepada 4288mAh berbanding 4252mAh pada iPhone 17 Pro, iaitu peningkatan sekitar 0.85%.

Jika dilihat pada angka semata-mata, peningkatan ini mungkin tidak begitu mengujakan kerana perbezaannya hanya sekitar 68mAh untuk versi SIM fizikal dan 36mAh bagi versi eSIM. Namun seperti yang sering saya tekankan, pengalaman penggunaan bateri tidak hanya bergantung kepada kapasiti bateri semata-mata.
Apple lazimnya menumpukan kepada gabungan kecekapan cip, pengurusan kuasa iOS serta teknologi paparan yang lebih efisien untuk meningkatkan jangka hayat bateri. Dalam banyak keadaan, peningkatan masa penggunaan sebenar boleh berlaku walaupun kapasiti bateri hanya bertambah sedikit.
Sekiranya maklumat ini tepat, pengguna tidak seharusnya mengharapkan lonjakan besar dari segi kapasiti bateri pada iPhone 18 Pro. Sebaliknya, tumpuan mungkin lebih terarah kepada penambahbaikan kecekapan tenaga menerusi cip generasi baharu dan pengoptimuman perisian yang bakal diperkenalkan Apple.
Buat masa ini, maklumat tersebut masih berada pada peringkat khabar angin dan belum disahkan oleh Apple. Seperti biasa, segala-galanya hanya akan diketahui apabila Apple memperkenalkan siri iPhone 18 secara rasmi kelak.

