KUALA LUMPUR, 22 Julai – Fenomena Dilan ITB 1997 terus mencuri perhatian apabila tayangan perdana filem itu berlangsung serentak di TGV Suria KLCC, TGV Kinta City, Perak dan TGV Toppen, Johor Bahru semalam, sekali gus menerima sambutan yang cukup menggalakkan daripada para peminat.

Filem terbitan Falcon Pictures yang diedarkan di Malaysia oleh TGV Pictures itu menjayakan tayangan perdananya dengan kerjasama XN Media Network sebagai rakan media.
Menerusi kerjasama tersebut, XN Media Network telah diberi kepercayaan untuk menguruskan pengagihan lebih 300 keping tiket di ketiga-tiga lokasi tayangan.

Inisiatif itu membuka peluang kepada lebih ramai peminat untuk menjadi antara yang terawal menyaksikan Dilan ITB 1997 di layar perak dalam suasana tayangan perdana yang cukup meriah.
Sambutan yang diterima nyata di luar jangkaan apabila sesi giveaway yang dianjurkan beberapa minggu sebelum tayangan berjaya menarik penyertaan yang sangat memberangsangkan.
Keterujaan peminat jelas membuktikan bahawa francais Dilan masih mempunyai tempat yang istimewa di hati penonton di Malaysia.

Di TGV Suria KLCC, tayangan berlangsung di dua dewan termasuk sebuah dewan khas yang menempatkan KOL serta tetamu jemputan. Sebelum tayangan bermula, penonton di Dewan 4 turut dihiburkan dengan sesi soal jawab santai yang dipenuhi gelak tawa serta interaksi mesra, sekali gus mewujudkan suasana lebih hidup sebelum filem ditayangkan.

Dalam pada itu, TGV Pictures bersama TGV Cinemas turut mengamanahkan XN Media Network untuk mengagihkan barangan eksklusif filem, termasuk kemeja-T rasmi Dilan ITB 1997, pendrive edisi khas dan pelekat rasmi filem kepada penonton yang menyertai sesi soal jawab. Pemberian cenderamata eksklusif itu nyata menambahkan lagi kemeriahan sepanjang acara berlangsung.

Sejurus tamat tayangan di TGV Suria KLCC, pasukan XN Media Network turut menemu bual beberapa penonton bagi mendapatkan reaksi pertama mereka terhadap filem berkenaan. Rata-rata memberikan maklum balas yang positif, manakala kompilasi reaksi penuh akan dikongsikan menerusi platform media sosial XN Media Network dalam masa terdekat.

Sehingga hari ini, XN Media Network turut menerima pelbagai ulasan daripada penonton, sama ada dalam bentuk penulisan mahupun video.
Sebahagian besar daripada maklum balas yang diterima amat memberangsangkan, sekali gus mencerminkan penerimaan positif terhadap filem tersebut. Setiap sokongan dan perkongsian daripada para penonton amat dihargai.
Dilan ITB 1997 bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia. Bagi peminat siri Dilan, filem ini pastinya menjadi antara naskhah yang tidak wajar dilepaskan di layar perak.

