in , ,

Fenomena Pengarah Baharu Terus Menyinar, Min Lim bahawakan Mojoku Hilang Dengan Identiti Tersendiri.

Industri perfileman tempatan tahun ini memperlihatkan kebangkitan pengarah-pengarah baharu yang semakin berani menghasilkan karya dengan identiti tersendiri.

Selepas Nazifdin Nasrudin tampil menerusi Malaikat Malam, kini Min Lim pula mempertaruhkan Mojoku Hilang, sebuah filem romantik komedi yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan mesej tentang cinta, harapan, pengorbanan dan kekuatan sebuah komuniti.

Ia membuktikan genre romantik komedi masih mempunyai ruang untuk berkembang dalam industri filem tempatan.

Pertaruhan ini bukan sesuatu yang biasa. Min Lim membawa pelakon berbakat dari Indonesia, Adipati Dolken, untuk bergandingan dengan Mimi Lana sebagai teraju utama.

Mereka turut disokong oleh barisan pelakon berkaliber seperti Wan Hanafi Su, Namron, Aziz M. Osman, Tony Eusoff, Farah Ahmad, Gambit Saifullah dan Dato’ A. Tamimi Siregar.

Kehadiran pelakon-pelakon berpengalaman ini menjadikan setiap watak terasa hidup dan memberikan kekuatan kepada keseluruhan penceritaan.

Dengan kos penerbitan melebihi RM4 juta, Mojoku Hilang turut mengangkat Perlis sebagai latar utama penceritaan. Bagi saya, sinematografi merupakan antara kekuatan terbesar filem ini.

Setiap visual dipersembahkan dengan cukup indah sehingga berjaya menyerlahkan keunikan negeri tersebut. Tidak keterlaluan jika dikatakan Perlis menjadi salah satu “watak” penting yang melengkapkan perjalanan cerita.

Lagi artikel di ifon.my  Generasi: Perfect 10, Kisah Remaja Mengejar Impian Gimnastik

Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah keberanian Mimi Lana menampilkan sisi yang berbeza apabila menggunakan suara asalnya untuk menyampaikan lagu-lagu dalam filem ini.

Ia memberikan nilai tambah kepada emosi penceritaan dan membuktikan kesungguhannya dalam menghidupkan watak Ayu dengan lebih menyeluruh.

Ketika sesi podcast bersama pasukan produksi, pasukan kami sempat mengajukan soalan kepada pengarah, Min Lim, mengenai mengapa seekor lembu dipilih sebagai simbol utama dalam Mojoku Hilang.

Penjelasan yang diberikan cukup menarik dan membuka perspektif baharu tentang peranan Mojo dalam keseluruhan penceritaan. Namun, kami memilih untuk tidak mendedahkan jawapannya buat masa ini kerana perkongsian penuh akan dibawakan menerusi episod podcast XN Media Network yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Setiap pengarah pasti mempunyai proses pembelajaran dalam menghasilkan karya. Tiada filem yang benar-benar sempurna, namun Mojoku Hilang membuktikan Min Lim mempunyai keberanian untuk tampil dengan idea yang berbeza.

Lagi artikel di ifon.my  3 Hajat: Di Sebalik Diam Seorang Ayah, Ada Lautan Kasih yang Tidak Pernah Surut

Pengalaman daripada naskhah ini pastinya akan menjadi bekalan yang cukup bermakna untuk beliau terus berkembang sebagai antara pengarah yang perlu diberi perhatian pada masa hadapan.

Lebih mengagumkan saya ialah budaya kerja yang diterapkan oleh Double Vision sepanjang penggambaran. Saya sendiri berpeluang berbual dengan beberapa pelakon tanpa kehadiran pengarah mahupun pihak pengurusan syarikat. Apa yang dikongsikan benar-benar membuatkan saya kagum.

Mereka menceritakan bagaimana layanan yang diberikan bukan sekadar hubungan profesional antara produksi dan pelakon, sebaliknya mereka dilayan seperti sebuah keluarga. Perkara seperti ini mungkin tidak dapat dilihat oleh penonton, tetapi ia jelas memberi kesan kepada semangat dan keselesaan para pelakon sepanjang menjayakan filem ini.

Akhirnya, Mojoku Hilang bukan sekadar sebuah filem romantik komedi. Ia hadir dengan penceritaan yang mempunyai jiwa, diperkukuhkan dengan lakonan berkualiti, visual yang memukau serta mesej yang dekat dengan masyarakat.

Lebih penting, filem ini membuktikan bahawa pengarah baharu juga mampu menghasilkan karya yang mempunyai identiti tersendiri dan berpotensi mewarnai masa depan industri perfileman Malaysia.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Fenomena Dilan ITB 1997 Gegarkan Tiga Negeri, Sambutan Tayangan Perdana Di Luar Jangkaan