Feisk Productions sekali lagi menghidangkan sebuah karya yang berani keluar daripada kebiasaan filem tempatan.
Tikus hadir sebagai sebuah filem misteri yang bukan sahaja mahu merungkai persoalan tentang pembunuhan Datin Saliha, malah mengajak penonton menyelami sebuah dunia yang agak berbeza daripada kebanyakan filem tempatan.

Kisahnya bermula apabila sekumpulan tetamu menetap di sebuah rumah inap. Namun, keadaan berubah apabila mereka terkandas selepas kawasan berkenaan dilanda banjir besar.
Dalam keadaan terperangkap dan tidak mempunyai jalan untuk keluar, satu persoalan mula menghantui mereka. Siapakah sebenarnya pembunuh Datin Saliha?
Sejujurnya, Tikus boleh dikatakan sebagai sebuah penceritaan yang benar-benar di luar kotak. Kata kunci paling tepat untuk menggambarkan filem ini ialah unik.
Ada keberanian pada cara ceritanya dibina, khususnya apabila penonton dibawa untuk mencurigai setiap watak dan pada masa yang sama cuba menyusun sendiri kepingan misteri yang dipersembahkan.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon baharu dan, seperti yang boleh dijangka, terdapat beberapa kelemahan dari segi mutu lakonan. Pada minit-minit awal lagi, penonton boleh menangkap bahawa sebahagian besar barisan pelakon ini mempunyai latar belakang pementasan teater.
Namun, untuk mengetahui bagaimana perkara itu berkait dengan keseluruhan penceritaan, anda perlu menontonnya sendiri.

Dari sudut teknikal pula, keterbatasan kos produksi sememangnya dapat dirasakan dalam beberapa bahagian.
Ada kelemahan yang tidak dapat disembunyikan sepenuhnya, tetapi pada masa yang sama, perkara tersebut tidak menghilangkan keberanian Feisk Productions untuk menghasilkan sebuah karya yang mempunyai identiti tersendiri.
Malah, inilah kekuatan terbesar Tikus. Bukan mudah untuk sebuah produksi tempatan mengambil risiko menghasilkan filem dengan pendekatan seperti ini.
Pengarahnya, Ellina Abdul Majid, buat pertama kalinya mengarahkan sebuah filem, tetapi beliau bukanlah nama baharu dalam industri. Beliau merupakan antara tulang belakang Feisk Productions, khususnya dalam menghasilkan skrip yang menarik dan unik.
Bagi mereka yang pernah mengikuti karya Feisk Productions, elemen yang diterapkan dalam Tikus mungkin terasa lebih dekat. Filem ini membawa pendekatan yang berani, termasuk menyelitkan sedikit unsur yang boleh dianggap tabu dalam konteks penonton tempatan.

Bagi saya, keberanian tersebut menjadikan filem ini lebih menarik untuk dihayati kerana ia tidak terlalu takut untuk menyentuh perkara yang mungkin membuatkan sebahagian penonton berasa kurang selesa.
Satu lagi perkara yang menarik, dan mungkin tidak dapat dirasai oleh penonton lain, ialah kami berkesempatan menonton Tikus tanpa tapisan. Terdapat beberapa babak yang pada pandangan saya agak sensitif dan mungkin sukar diterima oleh segelintir penonton tempatan.
Namun, babak-babak tersebut juga memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keberanian pembikin filem ini dalam menyampaikan apa yang ingin mereka sampaikan.
Walakin begitu, Tikus bukanlah sebuah filem yang sempurna. Kelemahan lakonan dan beberapa kekurangan teknikal tetap wujud.
Namun, saya lebih menghargai keberanian sebuah produksi untuk mencuba sesuatu yang berbeza daripada menghasilkan karya yang sekadar selamat dan mengikut acuan biasa.
Pada akhirnya, Tikus mempunyai keunikan tersendiri. Ia mungkin tidak sesuai untuk semua penonton, tetapi bagi mereka yang gemarkan filem misteri dengan pendekatan yang luar daripada kebiasaan, karya ini wajar diberikan peluang.
Lebih-lebih lagi apabila sebuah produksi tempatan berani mengetengahkan elemen yang jarang disentuh dalam filem arus perdana.
Tikus mula ditayangkan di pawagam pada 3 September ini. Jika anda ingin mengetahui siapa pembunuh Datin Saliha dan bagaimana keseluruhan misteri ini dirungkai, anda sendiri perlu berada di pawagam untuk mencarinya.
