in

Peluru Senja: Sejarah, Perang dan Kemanusiaan Bertembung

Peluru Senja: The Ghost & The Gun membawa penonton kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1948, sebuah tempoh yang penuh dengan ketegangan dan pergolakan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Filem arahan Anshul Tiwari ini mengangkat kisah yang berlatarbelakangkan suasana pascaperang, ketika kehidupan masyarakat masih dibayangi ancaman, ketidakstabilan dan konflik bersenjata.

Dengan barisan pelakon yang terdiri daripada Hazman Al-Idrus, Fabian Loo, Asmara Abigail dan Brett Tutor, filem ini cuba menghidupkan semula sebuah zaman yang jarang diterokai dalam perfileman tempatan.

Peluru Senja mengisahkan pertemuan antara seorang anggota tentera Melayu dengan seorang askar British yang terpisah daripada pasukan masing-masing.

Dalam keadaan yang serba tidak menentu, kedua-duanya terpaksa mengetepikan perbezaan bangsa, latar belakang serta rasa saling mencurigai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Situasi menjadi semakin genting apabila sebuah perkampungan berdepan ancaman kumpulan pemberontak bersenjata, sekali gus memaksa mereka bekerjasama untuk melindungi penduduk dan menghadapi ancaman yang semakin menghampiri.

Apa yang menarik perhatian saya ialah cara pengarah membawa latar penceritaan tahun 1948 itu ke layar. Walaupun filem ini tidak mempunyai skala produksi yang terlalu besar, suasana zaman tersebut masih dapat dirasakan melalui latar, pakaian, watak dan keadaan sekeliling yang dibina.

Pengarah berjaya memberikan gambaran sebuah dunia yang sedang berhadapan dengan kesan peperangan, sekali gus menjadikan latar sejarah bukan sekadar hiasan, tetapi sebahagian daripada perjalanan cerita.

Setiap pelakon juga berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Persembahan mereka terasa bersesuaian dengan dunia yang cuba dibina, terutama dalam menyampaikan ketegangan dan hubungan antara watak yang pada awalnya mempunyai perbezaan besar.

Tiada persembahan yang terlalu mencuri perhatian sehingga menenggelamkan watak lain, sebaliknya setiap pelakon memberikan sumbangan yang diperlukan untuk memastikan penceritaan terus bergerak.

Lagi artikel di ifon.my  402 Rumah Sakit Angker Korea: Remake Yang Masih Dibayangi Kehebatan Gonjiam

Namun, perkara yang paling menarik bagi saya dalam Peluru Senja ialah dialognya. Ada keunikan tertentu pada cara setiap watak berkomunikasi sehingga membuatkan filem ini mempunyai identiti tersendiri.

Dialog yang digunakan tidak terasa seperti sesuatu yang biasa saya dengar dalam filem perang tempatan, malah menjadi antara elemen yang membuatkan saya terus memberikan perhatian terhadap perbualan antara watak.

Walakin begitu, filem ini mempunyai beberapa kelemahan yang agak jelas. Radius penceritaannya terasa agak terhad, manakala bilangan pelakon yang menjayakan filem ini juga tidak begitu ramai.

Untuk sebuah cerita yang mengambil latar tahun 1948 dan berkait dengan keadaan masyarakat serta konflik pada zaman tersebut, saya secara peribadi mengharapkan dunia penceritaan yang lebih luas dan lebih banyak watak yang dapat memberikan gambaran lebih menyeluruh terhadap keadaan ketika itu.

Dari sudut visual pula, penggunaan CGI pada babak yang melibatkan kapal terbang agak jelas kelihatan. Ia tidaklah sampai merosakkan keseluruhan pengalaman menonton, tetapi terdapat beberapa ketika yang membuatkan kesan visual tersebut kelihatan kurang kemas berbanding elemen lain dalam filem.

Namun begitu, saya tidak melihat perkara ini sebagai kelemahan yang cukup besar untuk menjadikan keseluruhan filem ini gagal.

Sebaliknya, keterbatasan tersebut masih tidak menghalang Peluru Senja daripada menghidupkan penceritaan yang ingin disampaikan.

Filem ini tahu apa yang mahu diceritakan dan menggunakan sumber yang ada untuk memastikan kisahnya terus bergerak.

Walaupun tidak mempunyai jumlah pelakon yang besar atau babak aksi yang berskala luas, ia masih mampu membina suasana dan memberikan gambaran tentang keadaan yang ingin dipaparkan.

Lagi artikel di ifon.my  Drop : Cemas dan Mendebarkan

Secara peribadi, saya melihat Peluru Senja sebagai sebuah filem yang unik. Ia mungkin bukan sebuah filem perang yang mempunyai skala produksi sederhana, tetapi pendekatan terhadap watak, latar sejarah dan dialog memberikan identiti tersendiri kepada karya ini.

Bagi saya, keunikan tersebut merupakan antara perkara yang membuatkan filem ini masih mempunyai nilai untuk ditonton walaupun terdapat beberapa kekurangan yang ketara.

Hatta, beberapa perkara masih boleh diperkemaskan sekiranya filem seperti ini mahu memberikan kesan yang lebih besar kepada penonton.

Skala penceritaan boleh diperluaskan, pembangunan watak sampingan boleh diberikan lebih perhatian dan kesan visual khususnya pada babak tertentu boleh diperhalusi lagi.

Dengan penambahbaikan tersebut, saya percaya cerita yang dibawa oleh Peluru Senja berpotensi untuk menjadi lebih kuat, lebih meyakinkan dan meninggalkan kesan yang lebih mendalam.

Pada akhirnya, Peluru Senja bukanlah sebuah filem yang sempurna, tetapi saya tidak menganggapnya sebagai sebuah filem yang terlalu teruk.

Ia mempunyai kelemahan, namun pada masa yang sama mempunyai identiti dan beberapa elemen yang menarik untuk diberikan perhatian. Dialognya unik, barisan pelakonnya berjaya menghidupkan watak masing-masing dan latar tahun 1948 memberikan kelainan yang jarang diketengahkan.

Bagi saya, Peluru Senja ialah sebuah percubaan yang menarik dalam mengangkat kisah berlatarbelakangkan sejarah. Beberapa kelemahan perlu diperkemaskan, tetapi asas penceritaannya masih cukup untuk membuatkan filem ini berdiri dengan identitinya sendiri.

Ia mungkin tidak meninggalkan kesan yang terlalu besar, namun cukup untuk membuatkan saya menghargai usaha yang dilakukan dalam menghidupkan sebuah kisah dari zaman yang begitu mencabar.

Skor: 5/10 (50%)

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Mutiny: Aksi Ringkas yang Tidak Melereh