in

Filem PRIMETIME Lakonan Robert Pattinson Tidak Lulus Tayangan Di Malaysia

Hasrat peminat filem di Malaysia untuk menyaksikan Primetime, filem terbitan A24 yang menampilkan Robert Pattinson sebagai pelakon utama, akhirnya tidak kesampaian apabila filem berkenaan disahkan tidak lulus untuk tayangan (TUT) di negara ini.

Keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dan dikeluarkan pada 6 Oktober 2026, sekali gus mengesahkan bahawa Primetime tidak lulus untuk tayangan di pasaran Malaysia.

Berlatarbelakangkan tahun 2006, Primetime mengisahkan Chris Hansen, pengacara rancangan televisyen To Catch a Predator, yang menjalankan operasi perangkap terhadap individu yang disyaki mahu melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak.

Ketika rancangan itu semakin mendapat perhatian, tekanan untuk menghasilkan siaran yang lebih besar dan sensasi mula memberi kesan kepada Hansen serta mereka yang berada di sekelilingnya.

Filem terbitan A24 ini pada asalnya dijadualkan memasuki tayangan awam bermula bulan ini. Malah, beberapa rangkaian pawagam tempatan sudah mula mempromosikan Primetime kepada penonton sebagai antara judul yang bakal menemui penonton di layar perak.

Lagi artikel di ifon.my  Rego Nyowo

Namun, perkembangan terbaharu daripada LPF mengubah segala-galanya. Dengan keputusan TUT tersebut, GSC, TGV Cinemas serta pawagam lain di Malaysia yang bertindak sebagai pemamer tidak akan menayangkan Primetime untuk pasaran tempatan. Ini bermakna segala perancangan tayangan yang telah dibuat sebelum ini terpaksa dihentikan.

Primetime diedarkan di Malaysia oleh Antenna Entertainments, sebuah syarikat pengedar yang semakin aktif membawa masuk filem-filem antarabangsa berkualiti untuk penonton tempatan. Kehadiran mereka memberikan lebih banyak pilihan kepada peminat filem, khususnya bagi karya antarabangsa yang mempunyai pendekatan dan penceritaan tersendiri.

Walakin begitu, keputusan TUT terhadap Primetime pastinya merupakan sesuatu yang mendukacitakan, bukan sahaja kepada penonton yang sudah menantikan filem ini, malah berkemungkinan memberi kesan dari sudut kewangan dan moral kepada pihak pengedar yang telah membuat persiapan serta komitmen untuk membawa filem tersebut ke Malaysia.

Lagi artikel di ifon.my  Perumahan Laddaland: Sebuah Rumah, Sebuah Keluarga, Sebuah Ketakutan

Sebagai peminat filem dan antara mereka yang sentiasa menyokong usaha membawa lebih banyak karya antarabangsa ke layar perak tempatan, saya berharap Antenna Entertainments tidak berputus asa.

Industri filem memerlukan lebih banyak syarikat yang berani mengambil risiko untuk membawa judul-judul menarik kepada penonton Malaysia. Walaupun Primetime akhirnya tidak dapat ditayangkan, usaha membawa filem seperti ini ke negara kita tetap wajar dihargai.

Saya berharap Antenna Entertainments terus melangkah ke hadapan dan tidak menjadikan keputusan ini sebagai penghalang untuk terus membawa karya-karya antarabangsa yang menarik, berkualiti dan berbeza kepada penonton Malaysia.

Bagi Primetime, malangnya kali ini penonton Malaysia hanya mampu melihatnya dari jauh.

Written by xaviernaxa

Seorang rakyat Malaysia yang memfokuskan kepada penulisan dalam bahasa Melayu, seorang pengkritik Apple dan pencinta Inovasi

Verity: Filem Yang Mempunyai Dua Penutup Berlainan, Siapa Yang Benar?